Kariah masjid tanam padi darat tampung keperluan sumber makanan
MARANG - Koperasi Kariah Masjid Tebakang (KOMIT) mengambil inisiatif menanam padi darat bagi menampung keperluan sumber makanan ruji yang kini berdepan peningkatan harga.
Pengerusi Ahli Lembaga KOMIT, Hussin Ismail berkata, tanaman padi seluas 4.3 hektar itu diusahakan dengan menyewa tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Katanya, isu bekalan makanan perlu diberi tumpuan bagi menjamin kesinambungan bekalan makanan di negeri ini.
Menurutnya, langkah mencari solusi terhadap peningkatan harga sumber makanan asas ini digerakkan secara bersepadu bersama Yayasan Amal Malaysia.
"Isu bekalan makanan adalah isu penting yang dibincangkan di seluruh dunia dan dijangka meruncing menjelang 2025.
"Kita cuba sedaya upaya menjadikannya sebagai satu satu program sara diri atau kendiri khusus untuk masyarakat luar bandar dan di kampung-kampung. Ia sebagai alternatif terhadap keresahan yang dialami rakyat hari ini," katanya.
Hussin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian KOMIT dan Pelancaran Tanaman Padi Darat Sara Diri Bersama Yayasan Amal Malaysia, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim dan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman.
Menurut Hussin, koperasi itu kini disertai seramai 70 peserta sejak ia ditubuhkan setahun lalu dan didaftarkan pada November 2022.
Sementara itu, Ariffin berkata, langkah KOMIT perlu menjadi contoh kepada kariah masjid yang lain untuk turut menubuhkan koperasi komuniti berasaskan pertanian.
"Usaha KOMIT dalam memastikan keterjaminan makanan dan menampung keperluan sumber keperluan asas rakyat negeri ini wajar dicontohi.
"Ia antara langkah meningkatkan bekalan beras dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!