Malaysia utamakan pada tambah baik isu tadbir urus - Anwar
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa keutamaan pertama Malaysia mestilah kepada menambah baik isu tadbir urus manakala percukaian adalah isu kedua dalam mana-mana inisiatif dasar awam dan ekonomi yang munasabah.
Beliau berkata, isu tadbir urus adalah penting untuk memastikan tiada ketirisan yang tidak perlu, mengambil kekayaan awam dan rasuah.
"Kita kemudiannya boleh menilai keperluan cukai, kerana ia adalah sesuatu yang penting hanya jika ia dianggap kritikal,” katanya ketika berucap di Simposium The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia yang dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Rabu.
Beliau berkata, perbincangan mengenai Cukai Nilai Tambah (VAT) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah relevan tetapi jangan sesekali lupa bahawa negara ini telah mewarisi masalah besar tadbir urus, rasuah endemik dan angka defisit yang perlu negara hadapi.
"Ia bukan kerana ekonomi telah kehilangan kapasitinya untuk berkembang atau asasnya lemah, tetapi cara kita mentadbir dan bertolak ansur dalam perkara ini.
"Apabila saya katakan kita, (ia) tidak terbatas kepada ahli politik tetapi ahli akademik, sarjana dan pemimpin korporat, yang dalam banyak cara bersubahat kepada keterlaluan jenayah itu," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata, dasar yang dilaksanakan pada asasnya adalah untuk memastikan tadbir urus yang baik dan juga kestabilan politik sebelum mempertimbangkan berapa banyak cukai yang diperlukan untuk memacu dan mengekalkan ekonomi.
Anwar berkata, isu tadbir urus mesti diberi keutamaan sebelum memperkatakan sama ada kerajaan menunjukkan kebimbangan dan keprihatinan yang mencukupi.
"Saya tidak akan menafikan hakikat bahawa Malaysia mempunyai perniagaan yang luar biasa. Semua kerajaan dahulu sememangnya memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, antara dasar-dasar yang akan dilaksanakan bagi menangani ketirisan termasuk subsidi bersasar yang mana kerajaan memutus untuk menghentikan pemberian subsidi kepada golongan kaya tanpa menjejaskan 90 peratus penduduk.
Beliau berkata, walaupun asasnya adalah tadbir urus, kejelasan dasar iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta kestabilan politik juga penting untuk memastikan kerajaan boleh melaksanakan dasar dan reformasi ekonomi yang radikal.
Mengenai cukai produk bergula termasuk minuman manis, beliau berkata, apa sahaja yang terakru daripada cukai tersebut tidak akan diserahkan kepada Perbendaharaan tetapi akan diperuntukkan sepenuhnya untuk rawatan perubatan bagi pesakit diabetes dan penyakit berkaitan gula. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!