CIDB sambut baik Belanjawan 2024, sedia banyak peluang kerja pembinaan
LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyambut baik Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd Zaid Zakaria berkata, bajet tersebut memperuntukkan sebanyak RM72.7 bilion untuk perlaksanaan kerja-kerja pembinaan kerajaan.
Menurut beliau, projek tersebut kebanyakannya meliputi projek-projek penyelenggaraan dan baik pulih sekolah, kuarters, jalan persekutuan, tandas-tandas awam serta parit dan longkang.
“Projek-projek ini akan membuka peluang kerja-kerja pembinaan untuk kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana (G1 hingga G4) dan merancakkan lagi industri pembinaan negara.
“CIDB bersedia menyokong aspirasi kerajaan dalam belanjawan yang bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat dengan menyediakan peluang-peluang latihan kompetensi kemahiran pembinaan kepada kontraktor, personel binaan dan belia secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Zaid berkata, perlaksanaan projek berkenaan secara berkesan memerlukan kontraktor serta personel binaan yang mahir dan juga mempunyai kompetensi yang diiktiraf.
“CIDB akan menyediakan latihan-latihan kemahiran yang diperlukan untuk perlaksanaan projek-projek yang tersenarai di dalam Bajet 2024. CIDB turut melaksanakan latihan pengurusan projek dan kewangan untuk para kontraktor,” kata Mohd Zaid.
Beliau berkata, sejak tahun 2000, CIDB telah melatih lebih daripada 400,000 pekerja mahir pembinaan di dalam pelbagai bidang yang amat diperlukan industri dan seramai 99,000 penyertaan bagi Kursus Pengurusan Kontraktor dicatatkan sejak 2014.
Pada tahun 2022, CIDB telah membelanjakan hampir RM30 juta untuk Latihan belia dan Personel Binaan dan seramai 3742 belia dan 5178 Personel Binaan telah mengikuti Latihan kemahiran yang dijalankan oleh CIDB Malaysia.
“CIDB berbesar hati dengan peruntukan sebanyak RM10 juta oleh kerajaan bagi melaksanakan Program PEKA (Peluang Kedua Anda) TVET, iaitu program yang menyediakan peluang pekerjaan kepada para pesalah yang akan mengakhiri tempoh hukuman.
“CIDB bersedia dalam melaksanakan inisiatif ini yang mendukung salah satu prinsip-prinsip utama Madani iaitu mendorong kepelbagaian dan inklusiviti dalam tenaga kerja yang melibatkan masyarakat tempatan dalam projek pembinaan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!