'Wake up call' buat Harimau Malaya

Reaksi kecewa para pemain negara selepas aksi final Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto: Bernama
Reaksi kecewa para pemain negara selepas aksi final Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto: Bernama
A
A
A

KEKALAHAN 0-2 kepada pasukan Tajikistan dalam aksi final Pestabola Merdeka menjadi 'wake up call' kepada Harimau Malaya menjelang aksi penting kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November dan Piala Asia di Qatar pada Januari nanti.

Kekalahan tersebut menyaksikan rekod positif tanpa kalah dalam tujuh perlawanan terakhir termasuk keputusan membanggakan mengikat pasukan China di ranking ke-80 dunia dan Syria di ranking ke-93 dunia pada aksi persahabatan lalu selain menewaskan pasukan di ranking ke-102, India lebur di tangan Tajikistan.

Malah, peningkatan mendadak ranking daripada kedudukan 154 dunia ke 134 dunia yang dipamerkan Harimau Malaya sejak Kim Pan-gon mengambil alih pasukan negara dalam tempoh kurang dua tahun juga bagai 'dikejutkan' dengan kekalahan kepada pasukan yang tidak membawa 15 pemain utama mereka itu.

Harimau Malaya dinilai terlalu selesa dengan deretan keputusan positif serta sanjungan tinggi selama ini dan kekalahan tersebut kembali membawa pasukan negara berpijak di bumi nyata.

Pan-gon mengakui keputusan negatif itu sebagai satu pengajaran berguna kepada Harimau Malaya selain mimpi ngerinya yang pernah mengingatkan bahawa Harimau Malaya akan tewas satu hari nanti menjadi kenyataan.

"Pasukan menunjukkan peningkatan yang hebat, dan kita capai ranking ke-134 sangat cepat. Sudah tentu, harapan sangat tinggi dan saya akui agak takut sehingga tidak dapat tidur.

"Saya tidak dapat tidur sebelum aksi final kerana semua fikir kita akan menang (Pestabola Merdeka 2023).

"Saya pernah kata satu hari nanti kita akan kalah. Kita boleh bersaing dengan pasukan lebih baik, tetapi kita tidak boleh selalu menang.

Artikel Berkaitan:

"Kita harus lihat kehadapan berdasarkan kekalahan ini. Kami tidak akan berputus asa dan kami akan bangkit. Saya janji kami akan bangkit demi penyokong Harimau Malaya. Sekarang ini, kami memerlukan sokongan anda," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, skuad negara terpaksa akur dengan kualiti dipamerkan pasukan di ranking ke-110 dunia, Tajikistan menerusi gol daripada Soirov Rustam pada minit ke-44 dan Samiev Shahrom pada minit ke-88.

Ia sekali gus menghampakan puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional yang mengharapkan pasukan negara dapat menjulang piala tersebut terutama apabila kejohanan ini dianjurkan semula selepas 10 tahun.

"Kami dalam tekanan kerana kami mahu menang. Setiap pemain buat kesilapan, sekarang apa yang perlu kita buat adalah belajar daripada kesilapan berbanding mengkritik siapa yang buat silap.

"Pemain telah beri yang terbaik dan bukan pemain perlu disalahkan, tetapi saya sebagai jurulatih mengambil tanggungjawab ini.

"Apabila menang kita gembira bersama, tetapi apabila kalah, kita perlu menangis bersama daripada menyalahkan satu sama lain. Saya minta maaf," katanya.

Selepas ini, Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila menerima kunjungan Kyrgyzstan pada 16 November sebelum berlepas ke Taiwan berdepan tuan rumah pada 21 November.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!