Budak lelaki mangsa dera minum air tandas, dibiar kelaparan

Ana bersama anaknya, Navin yang masih dirawat di HSA, Johor Bahru pada Rabu.
Ana bersama anaknya, Navin yang masih dirawat di HSA, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Luluh hati seorang ibu apabila mengetahui anak lelakinya yang menjadi mangsa dera suaminya terpaksa minum air dalam tandas dan dibiarkan kelaparan setiap kali dikurung berjam-jam dalam tandas.

M Ana, 34, berkata, penderitaan anaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Navin, 7, diceritakan kepadanya selepas diselamatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor pada Jumaat.

Dia yang berpeluang bertemu anaknya pada Sabtu selepas dipertemukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terkejut melihat keadaan Navin malah seakan tidak percaya budak lelaki tersebut adalah anaknya.

"Saya amat terkilan melihat keadaan Navin dan hampir tidak mengenalinya kerana keadaan fizikalnya itu tidak sama seperti sebelum ini.

"Ketika Navin tinggal bersama saya kira-kira dua tahun lalu, berat badannya lebih 60 kilogram dan dia juga seorang yang ceria serta peramah," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, penderitaan kanak-kanak itu yang didera sejak enam bulan lalu berakhir selepas disedari pengadu yang juga jirannya sebelum diselamatkan Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor dan Persatuan Penduduk India Kangkar Pulai pada Jumaat.

Menurut Pengasas Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor, M Caren Nantheny, mangsa tinggal bersama bapa kandung dan teman wanitanya itu serta anak wanita berkenaan yang berusia tiga tahun di Taman Pulai Jaya, Skudai di sini.

Caren berkata, dua persatuan tersebut kemudian meminta bantuan pihak polis dan JKM selepas suspek tidak memberikan kerjasama apabila mereka mahu melihat keadaan mangsa pada malam Khamis sebelum kedua-duanya diberkas pada petang Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ana yang berniaga nasi lemak dan tinggal di Kuala Selangor, Selangor berkata, semasa bertemu Navin, anaknya itu menceritakan kerap meminum air tandas ketika kelaparan dan kadang-kala hanya menjamah sisa makanan di rumah mereka.

Menurutnya, Navin juga menyatakan terpaksa menahan kesakitan apabila sengaja dipukul serta dicucuh api oleh teman wanita bekas suaminya dan tiada tempat untuk mengadu nasib.

"Saya tidak melihat perbuatan mereka, namun siapa saja pelaku, saya tidak akan memaafkan mereka dan berharap dibawa ke muka pengadilan. Saya tidak dapat membayangkan nasib Navin sekiranya dia tidak diselamatkan polis, mungkin kami kehilangannya," katanya.

Dia sebak setiap kali terbayangkan cerita anaknya yang terpaksa menanggung kesakitan, tekanan dan penderitaan sejak enam bulan lalu semasa di bawah jagaan bekas suaminya.

"Saya pernah membuat laporan tujuh kali termasuk di Banting, Selangor kerana suami tidak membenarkan saya bertemu Navin sejak lebih setahun lalu. Dia mungkin menjadi mangsa penderaan dalam tempoh itu," katanya.

Ana berkata, Navin menyatakan mahu pulang ke rumah bersamanya, namun memujuknya supaya bersabar kerana ketika ini masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sehingga keadaannya beransur baik.

"Saya bersyukur Navin selamat, terima kasih kepada NGO terbabit, pihak polis dan komuniti setempat. Apabila pulang nanti saya akan daftarkannya ke sekolah kerana di sini dia tidak bersekolah," ujarnya yang mempunyai dua anak lain berusia 13 dan 15 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!