NS belum buat keputusan peruntukan ADUN pembangkang

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan masih belum membuat keputusan berhubung peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perbincangan mengenai perkara itu masih belum dibuat, namun pihaknya akan melihat keperluannya dan bagaimana keadaan kewangan negeri terlebih dahulu.

"Kita belum bincang lagi dan bila saya kata belum bincang bermakna belum ada keputusan.

"Saya pun tak boleh kata saya sedia (mempertimbangkan peruntukan) kerana kalau saya seorang bersedia tetapi yang lain tidak bersedia tak boleh juga kerana kata putus itu bukannya pada saya seorang," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya terus dijadikan isu kerana beliau sendiri sebagai ADUN pembangkang sebelum ini turut tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri.

Ujarnya, apabila seseorang itu bersedia menjadi wakil rakyat, itu antara pengorbanan yang perlu mereka lakukan.

"Saya dulu selama 10 tahun pembangkang tiada peruntukan pun. Bila saya tanya sekali tiada, ia tiadalah. Berapa kali saya nak minta?

"Dan bila kita sedia, sanggup jadi wakil rakyat bukan isu ada atau tiada (peruntukan) kerana itu yang kita perlu korbankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah jelas beliau, pada penggal lepas, ADUN Barisan Nasional (BN) juga tidak mendapat peruntukan.

"Jadi kenapa sekarang ini seolah-olah ia jadi kewajipan? Itu bergantung dan saya tidak kata ya dan tak kata tidak ada (peruntukan)

"Tapi janganlah buat persepsi ia seolah-olah sudah tiada. Kita belum bincang pun dan belum ada kata putus pun lagi," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan ADUN pembangkang menggesa kerajaan negeri memberi layanan dan peruntukan sama rata kepada mereka seperti mana dilakukan di negeri yang dikuasai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

ADUN Paroi, Kamarul Ridzuan berkata, ADUN pembangkang juga telah dipilih oleh rakyat dan merupakan satu institusi yang perlu dihormati oleh semua pihak selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Dalam pada itu Aminuddin turut memaklumkan yang cadangan lantikan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) juga masih belum dibincangkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!