Taman Jubli Perak dibaik pulih, harap pengunjung beri kerjasama

Notis pemberitahuan dipasang di laluan masuk ke Taman Jubli Perak, Sungai Petani memaklumkan kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan.
Notis pemberitahuan dipasang di laluan masuk ke Taman Jubli Perak, Sungai Petani memaklumkan kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Beberapa kemudahan termasuk laluan pejalan kaki dan permainan kanak-kanak di Taman Jubli Perak di sini, sedang dibaik pulih berikutan infrastruktur terbabit yang sudah mengalami kerosakan serta tidak selamat digunakan.

Pengarah Jabatan Landskap dan Rekreasi Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Mohd Hasrun Ahmad berkata, orang ramai dinasihatkan peka dengan kerja-kerja naik taraf di taman rekreasi awam itu yang dijangka selesai hujung tahun ini.

Mohd Hasrun
Mohd Hasrun

Menurutnya, kehadiran pengunjung ke kawasan berkenaan dikhuatiri mengganggu kerja-kerja yang dijalankan selain bimbang faktor keselamatan berikutan akan ditutup mengikut fasa.

"Kerja-kerja baik pulih fasa pertama ini melibatkan kos RM400,000 merangkumi naik taraf laluan pejalan kaki, lantai alat permainan, pokok hiasan, pentas dan tandas baharu.

"Kita akan tutup kawasan tertentu ikut fasa selain tidak menggalakkan orang awam untuk berada berdekatan sepanjang ia dilaksanakan atas risiko tertentu," katanya.

Menurut Hasrun, sebarang kejadian tidak diingini berlaku adalah di bawah tanggungjawab sendiri.

Jelasnya, pengunjung yang kerap menjadikan lokasi tumpuan ramai itu sebagai kawasan rekreasi atau senaman, boleh berkunjung ke beberapa taman berhampiran yang turut menyediakan kemudahan hampir sama.

Artikel Berkaitan:

Keadaan lantai alat permainan yang rosak juga akan dibaik pulih.
Keadaan lantai alat permainan yang rosak juga akan dibaik pulih.

Antaranya di Taman Rekreasi Bandar Perdana, Lagenda Heights, Bukit Banyan dan Ujana Perbandaran Bandar Puteri Jaya.

Difahamkan, Taman Jubli Perak dibina pada 1983 dan kini mencecah usia 40 tahun, namun masih menerima kehadiran ribuan pengunjung saban hari disebabkan kedudukan strategik di pusat bandar Sungai Petani selain sesuai dijadikan lokasi rekreasi seisi keluarga.

"Terdapat banyak kemudahan yang tidak seperti keadaan asalnya, perlu dibaik pulih dan perkara ini akan dibuat secara berperingkat.

"Kami berharap pengunjung dapat memberi kerjasama bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih lancar sekali gus menyediakan kemudahan lebih baik dan kondusif kepada penduduk Sungai Petani," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!