[VIDEO] Kekejaman Israel: PN gesa kerajaan desak PBB buat ketetapan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menggunakan sepenuhnya Persidangan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Khamis ini bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan memulakan dan menghantar segera pasukan pengaman bagi menghentikan kekejaman Israel.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan perlu memainkan peranan utama dalam mendesak PBB dan Kesatuan Negara-Negara Islam supaya membuat ketetapan kolektif yang lebih tegas serta berani dengan memulakan tindakan sekatan ekonomi dan perundangan antarabangsa terhadap Israel.

“Jenayah holocaust terancang Israel dan Zionis ke atas bangsa Palestin perlu dikeji dan dicela sekeras-kerasnya.

“Walau bagaimanapun, tidak salah bagi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan pro-aktif dan berani dengan terlebih dahulu memulakan misi Pasukan Pengaman Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC Peacekeeping) di sempadan Gaza,” katanya dalam sidang media ahli PN di lobi Parlimen pada Rabu.

Hamzah (tengah) bersama ahli Parlimen PN dalam sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.
Hamzah (tengah) bersama ahli Parlimen PN dalam sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.

Pada Rabu, media melaporkan sekurang-kurangnya 500 terkorban dalam serangan udara terbaharu Israel ke atas Hospital Al-Ahli yang penuh sesak di Genting Gaza.

Hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.

Dalam pada itu, menurut beliau, PN juga akan terus mengunakan semua saluran dan rangkaian yang ada termasuk diplomasi antara rakyat kepada rakyat bagi memastikan Palestin mendapat keadilan, pembelaan dan bantuan di semua peringkat.

Artikel Berkaitan:

“Kuasa ekonomi umat Islam dunia yang seramai lebih dua bilion perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberikan tekanan kepada rejim Israel serta sekutunya dan PN menyeru kerajaan Malaysia untuk menyuarakan secara lantang usaha bagi membangkitkan kesedaran umat Islam dunia untuk membalas setiap kekejaman, kebiadaban dan kesombongan Israel.

“Jenayah perang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan semalam (Selasa) telah membunuh lebih 800 nyawa manusia dan menjadikan angka kepada siri pembunuhan Israel mutakhir ini meningkat kepada hampir 4,000 nyawa manusia termasuk kanak-kanak, warga emas, para doktor, jururawat serta petugas kesihatan yang tidak berdosa.

“Tindakan negara-negara kuasa dunia seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis dan beberapa negara lain yang menolak resolusi gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang dicadangkan Rusia semalam jelas memperlihatkan sikap dwi-standard dalam soal kemanusiaan sejagat,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!