Merenung bulan dan bintang
ADA ketikanya dalam kehidupan bekerjaya kita melihat organisasi luar nampak sangat berstruktur dan hebat.
Kehebatan itu menjadi semakin gah apabila rakan-rakan lain menggembar-gemburkannya. Kita pun mula membandingkan kehebatan tersebut dengan organisasi di mana kita bekerja.
Pada hemat kita, yang dimiliki tidak cukup hebat serba kekurangan. Rungutan dan aduan tentang keburukan serta kekurangan itu bukan bererti kita tidak bersyukur dengan apa yang disediakan oleh organisasi tetapi sudah lumrah manusia begitu!
Kita sentiasa berkehendak yang lebih baik dan teruja dengan cakap-cakap orang tentang kehebatan organisasi luar yang kita sendiri tidak pasti kesahihannya.
Zahirnya, adakah benar organisasi luar itu gah dan hebat? Ia mungkin tidak begitu kerana kita tidak tahu cerita sebenarnya.
Anggapan bahawa organisasi lain lebih hebat daripada organisasi semasa boleh diibaratkan sebagai perbuatan merenung bulan dan memuja bintang sambil membayangkan keindahan ciptaan Tuhan tersebut.
Sewaktu khayal merenung bulan dan bintang, menikmati keindahannya dari jauh, kita sering terlupa akan padang di mana kita berdiri yang sebenarnya mewangi dan dipenuhi dengan pelbagai flora dan fauna indah.
Dek kerana khayalan itu, kita berangan-angan pula mahu berada di organisasi hebat itu dan meninggalkan organisasi semasa.
Dalam kotak fikiran kita, menyertai organisasi lain mampu memenuhi hasrat kerjaya yang diidamkan dan memenuhi jurang kepuasan kerja. Dalam keadaan sebegini, kesetiaan dan rasa sayang kepada organisasi sedia ada pudar perlahan-lahan.
Penghijrahan individu ke organisasi luar membawa pelbagai bentuk emosi dalam kalangan warga kerja organisasi terutamanya dari aspek keperluan khidmat mereka, laluan kerjaya masa hadapan dan cabaran persekitaran organisasi.
Oleh itu, peri pentingnya kesejahteraan emosi diambil kira sebelum seseorang individu itu membuat keputusan berhijrah ke organisasi lain yang dirasakan lebih baik kerana kesejahteraan emosi berupaya membawa dimensi baharu kepada individu terbabit dalam mengubah paradigma dan mengubat rasa kecewa terhadap organisasi lama kepada diaspora bakat dan penambahbaikan kemahiran mendepani cabaran masa hadapan.
Hakikat keindahan dan kelebihan organisasi luar seperti mudah dinaikkan pangkat, gaji yang tinggi, kerja tidak kompleks atau sistem tadbir urus yang mesra pekerja sebenarnya mungkin cerita yang ditokok tambah daripada keadaan yang sebenarnya.
Jika begitu, ia adalah indah khabar dari rupa atau bagai menumbuk padi hampa sahaja.
Apabila kelemahan dan cabaran di organisasi baharu terserlah, dapatan daripada mereka yang meninggalkan organisasi semasa berhajat rujuk kembali. Ada yang berjaya kembali ke organisasi asal, namun tidak kurang juga hanya menyimpan perasaan kesal kerana peluang sudah tertutup! Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna.
Kini, barulah mereka sedar betapa bernilainya organisasi lama. Namun, demi menjaga air muka keberadaan diri dalam organisasi baharu, terpaksa diteruskan biarpun pengalaman dan perasaan di situ lebih pahit daripada sebelumnya.
Setiap warga organisasi harus tahu dan faham bahawa kesetiaan kepada organisasi merupakan ikatan psikologi antara pekerja dengan organisasi bagi menjayakan matlamat secara bersama.
Organisasi perlu menggunapakai apa sahaja strategi mampannya bagi menyegarkan rasa setia pekerja terutama dalam kalangan pekerja cemerlang.
Di pihak pekerja, kesetiaan dan ketaatan kepada organisasi tidak seharusnya mencetuskan stres kepada mereka.
Pada hemat penulis, asal sahaja organisasi memberi stres pekerjaan yang minimum, kebebasan melakukan aktiviti harian dan kualiti masa bersama keluarga, ia sudah mencukupi bagi kita.
Justeru, janganlah asyik merenung bulan dan bintang kerana realitinya sesuatu yang indah pada pandangan mata kasar tidak semestinya hebat.
* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!