Sinar Karangkraf bincang kerjasama anjur program bersama JaPen

Sivabalan (tengah), Nik Justin (tiga dari kanan) dan Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa (dua kari kanan) selepas sesi pertemuan bersama JaPen, di Shah Alam pada Rabu.
Sivabalan (tengah), Nik Justin (tiga dari kanan) dan Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa (dua kari kanan) selepas sesi pertemuan bersama JaPen, di Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Karangkraf bakal menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penerangan (JaPen) dengan penganjuran program atau wacana bagi memperkasakan hubungan antara syarikat media swasta dan kerajaan.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, usaha tersebut masih dalam perbincangan namun pihaknya komited dalam memastikan ia dapat direalisasikan.

Menurutnya, menerusi penganjuran itu nanti, ia membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk lebih mengenali peranan JaPen khususnya.

“Sekarang ini masih di peringkat awal, kita merancang untuk melaksanakan satu program seperti Konvensyen Media.

“Ini menunjukkan komitmen kami yang mahukan kerjasama yang kukuh dengan jabatan berkenaan selaku agensi yang sangat penting kepada perkembangan media dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengarah bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen, Datuk E Sivabalan di Kumpulan Media Karangkraf pada Rabu.

Sementara itu, Sivabalan berkata, perbincangan bagi kerjasama strategik tersebut merupakan satu perkembangan positif antara kerajaan dan media dalam bergabung tenaga bagi menganjurkan sesuatu program bersama.

“Ini mungkin pertama kali JaPen bekerjasama dengan syarikat media swasta.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan bawa perbincangan ini ke perhatian pengurusan tertinggi jabatan untuk mandat,” ujarnya.

Menerusi kunjungan hormat ke Kumpulan Media Karangkraf, Sivabalan bersama kakitangan bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen diberi penerangan berhubung perjalanan operasi Sinar Harian.

Mereka juga dibawa meninjau bilik berita Sinar Harian bagi melihat sendiri proses penerbitan akhbar dan juga berita dalam talian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!