Dividen ASB terendah cetus bimbang
PENGUMUMAN dividen dan bonus Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.5 sen seunit bagi tahun 2019 merupakan kadar terendah dalam sejarahnya dan menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan unit pelaburan ini.
Ia agihan terendah dua tahun berturut-turut sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.
Pada tahun lalu, ASB memberi dividen dan bonus sebanyak 7 sen seunit yang juga merupakan kadar terendah.
Kadar terendah dua tahun berturut-turut itu melampaui zaman genting ekonomi dunia seperti krisis kewangan tahun 1997-1998 dan krisis ekonomi dunia 2008.
Lebih membimbangkan ialah pandangan sambil lewa Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menguruskan unit amanah itu. Pengerusinya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menyatakan beliau berpuas hati dengan kadar terbabit berdasarkan kelembapan ekonomi dunia tahun ini.
Bekas Gabenor Bank Negara itu turut dilaporkan berkata: Kadar tersebut meskipun paling rendah dalam sejarah ASB namun masih kompetitif jika dibandingkan dengan instrumen lain seperti deposit tetap, malah lebih baik berbanding prestasi indeks penanda FBMKLCI.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Jalil Rasheed pula berkata: Selaku sebuah syarikat pengurusan dana, kadar agihan pendapatan ASB sebenarnya 13 peratus lebih baik daripada prestasi purata pasaran di FBMKLCI dan 2.5 peratus lebih baik berbanding deposit tetap.
Sikap berpuas hati dan memberi perbandingan prestasi dengan pulangan simpanan tetap bank dan syarikat di Bursa Malaysia pasti merisaukan pelabur ASB. Ia menunjukkan pengurusan PNB mempunyai sikap sambil lewa dan berfikiran tidak wajar.
Mana-mana pengurus unit amanah tidak melahirkan perasaan puas hati dengan pembayaran dividen terendah dalam sejarah sejak penubuhan, namun PNB bersikap seperti bukan isu besar.
Membandingkan pulangan ASB dengan simpanan tetap bank dan purata pulangan syarikat senaraian Bursa Malaysia juga menunjukkan pengurusan PNB tiada idea jelas dalam pengurusan unit amanah.
Punca
Kejatuhan pulangan tahunan pelabur ASB itu banyak berpunca daripada kegagalan pengurusan kerajaan hari ini.
Pertamanya, apabila memenangi pilihan raya pada tahun lalu, kerajaan melakukan perubahan jawatan di PNB yang saya fikir ia langkah kebelakang.
Mereka menggantikan pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar dengan Zeti Akhtar Aziz. Wahid Omar ialah tokoh pengurusan korporat yang terbukti berkemampuan menguruskan pelbagai entiti yang mengutamakan keuntungan.
Zeti ialah tokoh birokrat yang sebahagian kerjaya beliau ialah sebagai regulator kewangan di Bank Negara.
Sukar untuk kita percaya Zeti cukup berpengalaman dan berpengetahuan bagi membantu PNB menjana lebih keuntungan dalam keadaan ekonomi yang sentiasa berubah dengan cepat.
Keduanya, kerajaan gagal menunjukkan apa-apa hala tuju yang jelas sehingga menyebabkan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan tidak menentu.
Tanpa pertumbuhan ekonomi yang baik, sukar untuk PNB membuat keuntungan dan membayar dividen yang lebih tinggi.
Pelabur asing dan tempatan hilang kepercayaan kepada kerajaan menyebabkan Bursa Malaysia berada pada senarai teratas indeks prestasi terburuk pasaran saham Asia. Jumlah dana asing yang meninggalkan Bursa Malaysia tahun ini sekitar RM10 bilion.
Pada Oktober lalu, PNB mengumumkan pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB termuda dalam sejarah, Jalil Rasheed, 37, yang dikatakan ada ikatan keluarga dengan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad.
PNB jarang berada dalam kontroversi, namun pelantikan itu sangat kontroversi kerana Pengerusinya dan Dr Mahathir membuat kenyataan berbeza semasa lantikan Presiden baharu itu.
Ketika Zeti menyatakan pelantikan tersebut dimaklumkan kepada Perdana Menteri; Perdana Menteri pula menyatakan beliau tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenainya.
Kadar pertumbuhan ekonomi negara tahun ini di bawah paras lima peratus dan dijangka berlarutan pada tahun 2020.
Masa depan ASB tampak suram kerana PH berkempen seperti sosialis pada pilihan raya lalu tetapi kini menjadi kapitalis tulen.
Nasib bumiputera kini di tangan para kapitalis bertopengkan pemimpin politik. Apa-apa kepentingan bumiputera adalah perkara terakhir dalam keutamaan mereka seperti penamatan unit amanah ADAM50 tahun lalu.
* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!