Muktamar: Pas batal jemputan kepada kedutaan sokong Israel

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas membatalkan jemputan kepada beberapa kedutaan bagi negara yang secara terbuka menyokong tindakan regim Zionis terhadap Palestin untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas kali ke-69.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan tersebut diambil sebagai tanda kebersamaan dan manifestasi solidariti Pas terhadap perjuangan pembebasan bumi Palestin.

Menurutnya, pengisian sepanjang muktamar adalah berkonsepkan 'Solidariti Pas Terhadap Perjuangan Palestin’.

“Ia akan bermula daripada penegasan dalam ucapan dasar Presiden, disusuli beberapa acara bagi menzahirkan sokongan Pas terhadap usaha pembebasan Palestin.

“Seterusnya, pelancaran bantuan kebajikan dan projek pembangunan di Gaza yang dikendalikan oleh Pas Relief bersama rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, sekurang-kurangnya 500 terkorban dalam serangan udara terbaharu Israel ke atas Hospital Al-Ahli yang penuh sesak di Genting Gaza.

Hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.

Jika disahkan, angka kematian itu menjadi antara yang tertinggi bagi satu serangan udara tunggal rejim Zionis sejak 2008.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan, pihaknya juga telah menghantar jemputan kepada pimpinan parti-parti politik dan NGO antarabangsa, termasuklah daripada Palestin, Turkiye, Timur Tengah, Asia Barat dan rantau Nusantara.

“Jemputan kepada pimpinan parti komponen Perikatan Nasional (PN), parti-parti politik dan NGO tempatan termasuklah kepada tokoh negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah pun mengesahkan kehadiran sebagai tetamu undangan,” katanya.

Tambah beliau lagi, seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap perjuangan Palestin turut dijemput untuk mengikuti perjalanan Muktamar Tahunan Pas melalui siaran secara langsung atau hadir sebagai ‘pemerhati’ sepanjang acara diadakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!