Gara-gara ikut Waze...

Kemalangan yang berlaku petang tadi melibatkan Perodua Kelisa yang dipandu melawan arus sehingga menyebabkan sebuah motosikal terjatuh selepas hilang kawalan.
Kemalangan yang berlaku petang tadi melibatkan Perodua Kelisa yang dipandu melawan arus sehingga menyebabkan sebuah motosikal terjatuh selepas hilang kawalan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Gara-gara mengikut pandu arah aplikasi Waze, seorang pemandu wanita tiba-tiba berada di laluan melawan arus di susur keluar Sungai Dua di sini.

Akibat kejadian itu, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki hilang kawalan lalu terbalik di hadapan kereta Perodua Kelisa yang dipandu wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian jam 4.50 petang tadi, wanita berusia 23 tahun itu memandu keretanya dari arah Sungai Petani, Kedah.

Menurutnya, berdasarkan aplikasi Waze, dia membelok masuk ke susur Sungai Dua secara melawan arus dan tersilap jalan.

"Hasil siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati Perodua Kelisa yang datang dari arah Sungai Petani telah membelok masuk ke susur Sungai Dua secara melawan arus.

"Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha FZ yang ditunggang seorang lelaki dari arah Jalan Sungai Lokan menuju ke Tol Sungai Dua melalui jalan sama hilang kawalan dan terbalik di hadapan kereta tersebut," katanya ketika dihubungi tadi.

Noorzainy berkata, penunggang lelaki berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan ringan di tangannya.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut namun pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. Kereta Perodua Kelisa tidak mengalami kerosakan manakala motosikal calar di bahagian hadapan, tangki minyak dan cermin sisi kiri.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati, pemandu yang bekerja sebagai kerani kilang serta penunggang motosikal yang juga pekerja kilang mempunyai lesen memandu yang masih sah," katanya.

Menurutnya, pemandu kereta yang berasal dari Bukit Minyak, Bukit Mertajam tidak ditahan dan kes disiasat mengikut Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Rule 10LN 166/59).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!