Tinggal lori muatan rokok seludup RM1.2 juta tepi jalan
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pemeriksaan terhadap lori berkenaan telah menemukan 76 peti mengandungi karton rokok dipercayai diseludup masuk melalui negara jiran untuk pasaran di Pantai Barat tanah air.
Beliau berkata, anggota polis bertugas telah menjumpai lori dalam keadaan mencurigakan itu yang disyaki sengaja ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari lokasi sekatan jalan raya dilakukan di sempadan daerah ini dan Pasir Puteh, Kelantan pada jam 9 pagi.
"Sebelum serbuan dibuat, pasukan telah melakukan intipan terhadap lori yang sengaja ditinggalkan dan mendapati tiada sesiapa datang menghampiri.
"Pemeriksaan mendapati kenderaan berat berkenaan mengandungi 76 peti berisi karton rokok putih dipercayai diseludup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini pada Rabu.
Menurutnya, ahli sindiket sengaja meninggalkan lori berkenaan di tepi jalan bagi mengelak terperangkap dalam sekatan jalan raya.
"Nilai rokok yang dirampas ialah RM340,000 manakala cukai tidak dibayar pula bernilai RM836,000,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah lori bernilai RM100,000 namun pemandu lori yang didaftarkan atas nama syarikat di Batang Kali, Selangor gagal dikesan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!