‘AS perlu bertanggungjawab terhadap kegilaan rejim Zionis’ - Ismail Sabri
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa negara barat khususnya Amerika Syarikat (AS) untuk bertanggungjawab terhadap kekejaman rejim Zionis yang membedil sebuah hospital di Gaza sehingga mengakibatkan 500 orang terbunuh.
Beliau berkata, seluruh dunia perlu mengambil tindakan tegas terhadap Israel yang telah hilang perikemanusiaan.
“AS perlu bertanggungjawab terhadap kegilaan rejim apartheid Zionis membunuh nyawa insan tidak berdosa kerana sentiasa berada di belakang Israel untuk bertindak ke atas Palestin.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan rejim apartheid Zionis ini harus dihentikan segera bagi mengelakkan tragedi yang lebih buruk dalam sejarah dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, sekurang-kurangnya 500 terkorban dalam serangan udara terbaharu Israel ke atas Hospital Al-Ahli yang penuh sesak di Genting Gaza.
Hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.
Jika disahkan, angka kematian itu menjadi antara yang tertinggi bagi satu serangan udara tunggal rejim Zionis sejak 2008.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, negara-negara Islam perlu bersatu dan mengambil tindakan yang lebih tegas dalam membela serta mempertahankan rakyat Palestin yang sedang dibunuh secara beramai-ramai.
Jelas beliau, konflik yang berlaku itu adalah berpunca daripada sejarah panjang tentang Israel secara sistematik menzalimi, membunuh dan merampas tanah rakyat Palestin.
“Saya mendoakan supaya saudara-saudara kita di Palestin khususnya di Gaza sentiasa di lindungi ALLAH SWT dan terus berjuang untuk mempertahankan tanah air sendiri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!