PKR kecam perbuatan genosid Israel terhadap rakyat Palestin
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam kejahatan dan hipokrasi Israel termasuk Amerika Syarikat dan sekutunya, Kesatuan Eropah yang melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai atau genosid terhadap rakyat Palestin.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, semua pihak yang berpegang kepada prinsip keadilan, menghormati undang-undang antarabangsa dan mempunyai nilai kemanusiaan tidak dapat menerima perbuatan tersebut.
“Strategi perang Israel terhadap Gaza sejak peperangan ini bermula lebih dari seminggu lalu bukan sahaja serangan bom tetapi hukuman secara kolektif dengan memutuskan bekalan air, elektrik dan makanan.
“Semalam Israel meningkatkan tahap serangan dengan mengebom hospital bagi merawat orang awam cedera dan tempat perlindungan wanita serta kanak-kanak yang dijamin selamat oleh undang-undang antarabangsa.
“Semua strategi perang ini bertujuan menjadikan Semenanjung Gaza tidak boleh didiami lagi seterusnya meningkatkan tekanan dan suhu peperangan di rantau berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 500 terkorban dalam serangan udara terbaharu Israel ke atas Hospital Al-Ahli Al-Arabi yang sesak di Genting Gaza.
Menurutnya, hospital berkenaan berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.
Tambah Shamsul Iskandar, serangan ke atas Gaza yang mendapat sokongan AS dan Kesatuan Eropah telah membuka mata lebih banyak negara serta jutaan masyarakat dunia.
“Kecaman yang diterima Israel termasuk rakyatnya sendiri dan sokongan kuasa besar dunia lain seperti Rusia, China dan negara-negara Arab termasuk Malaysia serta Indonesia menunjukkan peralihan sokongan kepada Palestin.
“Dunia menyaksikan kekejaman ini dan kini mereka (AS dan Kesatuan Eropah) berdepan dengan kemarahan masyarakat dunia tidak mengira agama serta bangsa.
“PKR akan terus berdiri teguh bersama-sama seluruh rakyat Malaysia berusaha dan berdoa agar rakyat Palestin akhirnya bebas daripada kejahatan penjajah Israel,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!