4 lelaki ditahan kes pecah kedai
PORT DICKSON - Empat lelaki dengan tiga daripadanya mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau yang giat melakukan kegiatan jenayah di sekitar Teluk Kemang, terbongkar apabila ditahan di sebuah apartment, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan susulan laporan berkenaan kes pecah kedai runcit pada Ahad lepas.
"Dalam kes itu, pemilik premis seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun mengalami kerugian RM800.
"Malah dua suspek telah meminta wang dari mangsa dan menolaknya sehingga jatuh menyebabkan warga emas itu cedera pada bahagian dahi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, hasil maklumat dan risikan, sepasukan Pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Port Dickson, Cawangan (D9) Ibu Pejabat Kontinjen negeri dan Balai Polis Telok Kemang membuat serbuan dan tangkapan terhadap suspek di apartmen tersebut pada jam 9.45 malam.
Ujarnya, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi menjumpai pelbagai peralatan pecah kedai, barang-barang yang disyaki hasil pecah kedai dan samun.
"Rampasan juga turut melibatkan pakaian dan sebuah kenderaan.
"Suspek yang ditahan masing-masing mempunyai 20, 19 dan 11 rekod lampau manakala satu rekod dadah. Hasil ujian saringan air kencing dapati kesemuanya positif Methaphetamine," katanya.
Aidi Sham berkata, kesemua suspek direman enam hari bermula Selasa sehingga 22 Oktober ini untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, hasil tangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan empat kedai pecah kedai dan satu masing-masing kes samun dan curi di sekitar Telok Kemang.
"Suspek juga turut dikehendaki bagi kes di daerah Seremban yang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis sedang giat mengesan seorang lagi Individu yang masih bebas disyaki turut terlibat dalam kes yang disiasat, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!