Megawati pilih Mahfud MD jadi cawapres
JAKARTA - Menteri Keselamatan Indonesia, Mahfud MD dilantik menjadi calon wakil presiden (cawapres) untuk mendampingi Ganjar Pranowo sebagai calon Presiden (capres) mewakili Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) pada Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2024.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi PDI-P, Megawati Soekarnoputri pada Rabu yang dijangka menyaksikan persaingan tiga penjuru.
"Beliau boleh menjadi pengadil yang baik di tengah-tengah persaingan politik dan perniagaan yang sering dirasakan tidak adil," ujarnya.
Pemilik nama sebenar Mohammad Mahfud Mahmodin, 66, yang merupakan anggota kanan pertubuhan Islam berpengaruh dan terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) itu turut meraih sokongan ramai selepas lantang bersuara tentang usaha pemerintah memerangi rasuah dan salah laku 'penyangak' dalam kalangan penjawat awam serta anggota penguatkuasa undang-undang.
Pemimpin teknokrat itu pernah memegang beberapa jawatan termasuk Menteri Pertahanan antara 2000 dan 2001 di bawah pentadbiran bekas Presiden Abdurrahman Wahid dan Ketua Hakim di Mahkamah Perlembagaan pada 2008-2013.
Kaji selidik terbaharu menunjukkan Ganjar, 54, yang merupakan bekas Gabenor Jawa Barat dan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, 72, sebagai dua pesaing paling sengit untuk merebut jawatan Presiden dengan masing-masing meraih kira-kira 30 peratus undi sokongan.
Bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, 54, yang berpasangan dengan Pengerusi Parti Kebangkitan Nasional (PKB) yang bergabung dengan NU, Muhaimin Iskandar, 57, pula berada di tangga ketiga.
Prabowo belum mengumumkan cawapres untuk menjadi pasangan regunya walaupun terdapat spekulasi beliau mungkin akan bergandingan dengan Gibran Rakabuming Raka yang merupakan anak Presiden Joko Widodo atau Jokowi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!