'Kemukakan laporan rawatan Thaksin'

Gambar Thaksin kena usung yang menjadi tular pada minggu lalu. - Foto: Agensi
Gambar Thaksin kena usung yang menjadi tular pada minggu lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

BANGKOK - Ketua Polis Negara Thailand baharu, Jeneral Torsak Sukvimol pada Selasa mengarahkan Hospital Besar Polis (PGH) mengemukakan laporan tentang rawatan yang dilakukan ke atas bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Arahan itu dikeluarkan selepas sekeping foto yang tersebar secara meluas menunjukkan Thaksin, 74, memakai pelitup muka dan diusung untuk menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT) dan pengimejan resonans magnet (MRI).

Gambar itu turut menjadi tular di media sosial pada minggu lalu dan menerima pelbagai reaksi terutamanya 'layanan istimewa' diterimanya walaupun sedang menjalani hukuman penjara.

Keadaan kesihatan Thaksin kembali menjadi bualan ramai selepas tempoh 90 hari beliau menerima rawatan di luar penjara dijadualkan berakhir pada Jumaat ini.

Bekas pemimpin digulingkan itu diletakkan di bawah pemerhatian Jabatan Penjara yang meminta polis menyediakan kawalan keselamatan kepadanya setelah dihukum penjara lapan tahun sekembalinya ke tanah air pada 22 Ogos lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!