Warga emas maut tercampak, motosikal dilanggar Proton X70
KLUANG - Seorang warga emas maut tercampak selepas motosikal ditungganginya terlibat kemalangan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 di Kilometer 81.9 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, dalam kejadian jam 1.45 petang itu, mangsa, Ramly Ahmad, 63, yang beralamat di Simpang Renggam cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Hasil siasatan awal mendapati motosikal jenis SYM ditunggang warga emas tersebut dari arah Simpang Renggam menghala ke Ayer Hitam manakala SUV itu dari arah bertentangan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, SUV dipercayai telah masuk laluan motosikal dan terlanggar motosikal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, warga emas tersebut tercampak atas jalan dan mengalami kecederaan dalaman dan kepala sebelum maut.
Katanya, pemandu Proton X70 yang juga warga emas berusia 63 tahun beralamat di Telok Intan, Perak, tidak mengalami sebarang kecederaan selain ujian saringan air kencing terhadapnya negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!