Wanita kongsi video hari terakhir operasi MYAirline
SHAH ALAM - Seorang wanita berkongsi video garis masa ringkas mengenai kejadian syarikat penerbangan tambah murah, MYAirline yang menggantung operasinya bermula 12 Oktober lalu sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.
Menurut video yang dikongsi pekerja syarikat itu, Cecilia Thirstcher, pada 11 Oktober jam 11 malam lalu, pihak pengurusan memaklumkan kepada kakitangan bahawa penerbangan untuk keesokan harinya telah dibatalkan.
“Kemudian, pada 12 Oktober jam 3.30 pagi pula syarikat beritahu penutupan operasi dan kami menerima penumpang terakhir pada 4.37 pagi.
“Hari yang sama pada jam 7 pagi, mereka menyuruh kami mengosongkan pejabat,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok pada Jumaat lalu.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan kenyataan MYAirline bahawa tekanan kewangan menjadi punca
penggantungan operasinya, selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat berkenaan.
Dalam video berasingan yang turut dimuat naik Cecilia di TikTok itu mengatakan bahawa kakitangan juga tidak dimaklumkan mengenai isu berkenaan dari awal.
“Sejak dari bulan lepas kami hanya fokus isu dalaman yang masih diperjuangkan dan diharapkan oleh kakitangan sampai saat ini.
“Status kami masih staf MYAirline dan belum lagi dibuang kecuali jika memilih untuk berhenti. Mungkin ada antaranya sedang mencari kerja sampingan atau baharu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!