Kegilaan Israel melampaui batas
KEKEJAMAN Israel terhadap rakyat Palestin makin menggila apabila hospital yang menjadi tempat perlindungan orang awam termasuk kanak-kanak dibom hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 500 nyawa pada Selasa.
Serangan udara oleh rejim Zionis ke atas Hospital Arab Al-Ahli yang terletak di tengah Gaza itu boleh disifatkan sebagai tidak masuk akal dan melampaui batas.
Jika disahkan, angka kematian itu menjadi antara yang tertinggi bagi satu serangan udara tunggal rejim Zionis sejak 2008.
Terdahulu pada 13 Oktober lalu, penduduk Palestin diarahkan untuk meninggalkan kediaman mereka di Semenanjung Gaza ke selatan dalam tempoh 24 jam.
Kira-kira 1.1 juta rakyat Palestin dilapor memulakan perjalanan dengan berjalan dan menaiki kenderaan susulan amaran Israel itu.
Namun malangnya, mereka yang mengikut arahan itu telah dibom oleh rejim Zionis ketika dalam perjalanan berpindah hingga meragut puluhan nyawa.
Tidak cukup dengan itu, media tempatan juga melaporkan penjenayah perang itu melakukan serangan ke atas 12 bangunan dalam hanya satu minit tanpa memikirkan mangsa yang terbunuh akibat serangan tersebut.
Sejak konflik tercetus 7 Oktober lalu, Israel telah membunuh hampir 3,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 9,000 orang.
Ramai pemimpin dunia mengecam tindakan yang disifakan perbuatan gila, tidak berperikamanusiaan, jenayah perang paling hina dan macam-macam lagi label, namun tidak ada mana-mana pihak yang mampu menghentikan kezaliman Israel.
Persoalannya, sampai bila kegilaan Israel akan terus dibiarkan? Adakah sehingga lesapnya rakyat Palestin di muka bumi ini?
Tindakan segera perlu diambil oleh negara seluruh dunia kerana ia bukan perjuangan mempertahankan agama tetapi membabitkan nilai kemanusiaan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menyifatkan tindakan rejim zionis Israel yang mengebom hospital di Gaza, sudah sampai ke tahap 'gila dan tidak berperikemanusiaan'.Anwar berkata, krisis Palestin-Israel sudah keterlaluan dan patut dihentikan segera.
Susulan itu, beliau merancang untuk mengadakan perjumpaan dengan pucuk pimpinan beberapa negara termasuk Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammad Salman bin Abdul-Aziz Al Saud ketika menghadiri sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi membincangkan konflik berkenaan.
Sementara itu, Ketua Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit menggesa pemimpin antarabangsa 'menghentikan tragedi ini dengan segera' sebagai tindak balas terhadap serangan itu.
Tegasnya, Arab akan mendokumentasikan jenayah perang ini dan penjenayah tidak akan terlepas daripada tindakan mereka.
Kerajaan Mesir pula menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dan mencegah pelanggaran selanjutnya.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan insiden pengeboman hospital di Gaza merupakan malapetaka besar dan jenayah perang yang kejam dan dalangnya perlu dipertanggungjawabkan serta dihukum.
Berikutan malapetaka itu, Abbas telah menarik diri daripada mesyuarat yang dijadualkan sebelum ini dengan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menghentikan pertumpahan darah di Gaza dan di Tebing Barat.
”Kami mahu perang ini dihentikan. Majlis Keselamatan perlu memikul tanggungjawab dan mengambil inisiatif untuk mengeluarkan resolusi yang mengutuk jenayah itu dan menghentikan segera keganasan," kata beliau.
Abbas berkata, rancangan Israel untuk memindahkan penduduk dari tanah air mereka sendiri tidak akan berjaya dan akan terus menentang dengan apa jua cara.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, kira-kira 500,000 pendatang haram Yahudi telah dipindahkan dan kehilangan tempat tinggal dalam tempoh 10 hari sejak pejuang Hamas melancarkan Operasi Banjir al-Aqsa pada 7 Oktober lalu.
Perkembangan itu, sekali gus menyaksikan giliran golongan tersebut pula menjadi pelarian seperti dihadapi penduduk Palestin sejak beberapa dekad lalu.
Data tersebut dimaklumkan jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Jonathan Conricus selepas Tel Aviv berdepan serangan terburuk dalam sejarah 75 tahun penubuhan negara haram tersebut.
“Pemindahan berskala besar dilakukan ke atas kesemua komuniti penduduk Israel. Proses itu dilakukan atas usaha mereka sendiri.
“Kami tidak mahu orang awam berada dekat dengan zon tempur. Keselamatan golongan itu diberi keutamaan,” katanya.
Jelaslah di sini, Israel semakin takut dengan kemaraan pejuang Hamas kerana mereka turut memindahkan penduduk di sepanjang kawasan utara bersempadan dengan Lubnan ketika konflik bersama kumpulan Hizbullah semakin meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!