Pahang Tulips congak langkah positif
PAHANG Tulips belum mahu mengibar 'bendera putih' setelah mengharungi dua aksi awal Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 tanpa kemenangan dalam saingan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara minggu lalu.
Jurulatih Pahang Tulips, Hapizah Jaafar optimis barisan pemainnya mampu bangkit melakar keputusan positif pada minggu kedua saingan NSL 2023 yang bermula pada Jumaat.
“Bagi Pahang Tulips, tiada istilah menyerah kalah. Kami akan terus berjuang sehingga hari terakhir saingan NSL tahun ini,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Pada aksi pertama, Pahang Tulips terpaksa akur tumbang di tangan Selangor Angels 42-47 sebelum mengalami kekalahan 23-54 kepada juara bertahan, Johor Jewels.
Dua kekalahan itu meletakkan Pahang Tulips berada di tangga ketujuh daripada lapan pasukan, manakala Negeri Sembilan Venom di kedudukan tercorot.
Menjelang saingan minggu kedua, Hafizah berkata, Pahang Tulips akan membaiki segala kelemahan termasuk memberi tumpuan untuk menajamkan lagi jentera depan.
Malah, beliau menambah, perlawanan menentang Johor Jewels minggu lalu memberi banyak pengalaman buat Pahang Tulips yang beraksi sepenuhnya dengan tenaga tempatan.
“Para pemain memberi saingan sepenuhnya biarpun sedar Jewels adalah penyandang juara dan tahu tahap mana lawan berada. Biarpun tanpa pemain import, kami tetap beri tentangan sengit,” jelasnya.
Pahang Tulips akan mengharungi tiga lagi aksi hujung minggu ini iaitu menentang pendatang baharu, Terengganu Marvels pada Jumaat disusuli hari berikutnya menguji kekuatan finalis edisi lalu, KL Wildcats.
Pahang Tulips akan menutup saingan minggu ini pada Ahad apabila membuat perhitungan dengan satu lagi pendatang baharu, Putrajaya Dynamites.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!