Palestin bergolak, kita pula sibuk kisah ‘dalam kain’!

Tunjukkan bahawa kita cakna dengan penderitaan rakyat Palestin. - Foto AFP
Tunjukkan bahawa kita cakna dengan penderitaan rakyat Palestin. - Foto AFP
A
A
A

KETIKA artikel ini ditulis, konflik yang berlaku antara Israel-Palestin sudah memasuki hari ke-11 sejak ia bermula pada 7 Oktober.

Hampir 3,000 warga Palestin terbunuh, dan angka pastinya bertambah selepas sebuah hospital di Gaza dibom askar Zionis malam kelmarin, mengorbankan 500 lagi nyawa.

Bayangkan ketika kita sedang sibuk dibuai mimpi, ratusan orang awam yang kebanyakannya wanita, kanak-kanak dan orang tua di Hospital al-Ahli Arab itu menjerit kesakitan meminta pertolongan.

Namun ia berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila yang dapat dirakam wartawan hanyalah mayat-mayat bergelimpangan ditutup dengan beg dan selimut.

Sungguh, penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang memasuki hampir dua dekad ini amat memilukan dan tahun ini paling tragis apabila angka kematian orang awam adalah yang tertinggi sejak tahun 2008.

Sementara itu di Malaysia, sungguhpun kebanyakan kita tanpa mengira bangsa menzahirkan rasa sedih dengan apa yang terjadi, namun cukupkah sekadar simpati?

Sepatutnya yang ‘lalu lalang‘ di dinding media sosial kita ketika ini ialah apa sahaja tulisan atau perkongsian perkara baik-baik, indah-indah, atau mungkin juga mengajak rakan pengikut sama-sama berdoa selain berderma mengikut kemampuan demi kesejahteraan rakyat Palestin.

Media tempatan terutamanya juga harus memainkan peranan untuk memberi tumpuan kepada perkembangan terkini tragedi pertumpahan darah saudara Islam kita di sana, dan kurangkan atau lebih baik tiadakan terus berita picisan atau kisah ‘dalam kain’ golongan selebriti.

Artikel Berkaitan:

Bayangkan, pada ketika saudara seIslam di seluruh dunia sedang berduka, kenapa kita sibuk nak semakkan kepala membaca tentang keluarga siapa sedang bergaduh, artis mana bersiap sampai tiga jam sebelum keluar rumah atau siapa ‘sondol’ siapa?

Di mana sifat perikemanusiaan kita? Kalau betul sama-sama berdukacita, ayuh, ‘walk the talk’.

Tunjukkan bahawa kita cakna dengan penderitaan rakyat Palestin, dan bagi menghormati prinsip itu demi solidariti, untuk satu jangka masa yang panjang ini, berkongsilah hal-hal positif sahaja.

Kita tidak perlu jadi kaya-raya untuk membantu, cukuplah istiqamah lakukan kebaikan walau dalam sekecil-kecil perkara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!