Islam tidak pernah sulitkan perkahwinan
KISAH ijab dan kabul ringkas antara pelakon veteran Sabri Yunus dan Angeline Tan menjadi bualan hangat apabila ramai pengguna media sosial bahkan terdapat agamawan dari luar negara yang mempersoalkan status perkahwinan tersebut.
Kontroversi tercetus apabila apabila perkahwinan itu dikendalikan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Bagaimanapun, Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza menjelaskan secara terperinci bahawa pernikahan tersebut sah dari segi hukum syarak selagi mana segala rukun itu dipenuhi.
Bukan itu sahaja, beliau turut meminta orang ramai untuk mendalami agama dan kisah-kisah Rasulullah SAW yang mana pernikahan itu sebenarnya cukup sekadar memenuhi rukun.
Benar, jika diteliti semula ada benarnya kerana Islam yang kita kenali adalah merupakan agama yang mudah dan bukan sukar dari segala aspek seperti solat, mengangkat hadas besar, berwuduk dan sebagainya.
Namun, kisah ijab dan kabul yang ringkas antara pelakon terkenal Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu telah menimbulkan tanda tanya mengapa mempersulitkan urusan perkahwinan?
Sudah tentulah perkara ini menimbulkan rasa gusar terutama dalam kalangan anak muda yang ingin melangkah ke alam perkahwinan dek kerana prosedur dan syarat yang ditetapkan.
Menerusi satu rakaman video di laman sosial, Facebook Dr Maza, beliau ada menjelaskan bahawa Islam sama sekali tidak pernah meletakkan syarat sah perkahwinan itu memerlukan satu nafas akad dalam keadaan lancar.
Ekoran daripada itu, Dr Maza mengingatkan kesemua jurunikah khususnya di Perlis untuk memudahkan setiap perkahwinan.
Mendengar penerangan daripada Dr Maza, maka kita sedar bahawa sebenarnya membina ikatan perkahwinan itu mudah, dan ia membuatkan penulis juga sedar bahawa Islam tidak pernah mempersulit umatnya tetapi ia menjadi sukar kerana wujudnya adat yang perlu dan wajib dipatuhi.
Contohnya, dalam masyarakat Melayu yang terikat dengan adat yang perlu dituruti seperti wang hantaran hendaklah disediakan oleh bakal pengantin lelaki sebelum melangsungkan perkahwinan.
Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan ibu bapa yang mengambil kesempatan seolah-olah ‘memperdagangkan’ anak dengan meletakkan hantaran tinggi sehingga hampir puluhan ribu ringgit.
Bukan itu sahaja, ada juga ibu bapa yang menjadikan pendidikan sebagai kayu ukur hantaran seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nilainya RM10,000 manakala diploma RM12,000 dan seterusnya ijazah sebanyak RM15,000.
Menjadikan pendidikan sebagai kayu ukur merupakan satu beban kepada bakal pengantin yang mahu mendirikan rumah tangga dan perkara itu sepatutnya tidak berlaku dalam Islam.
Keadaan itu seolah-olah memberi satu bayangan palsu bahawa Islam merumitkan perkahwinan, sedangkan yang menyukarkan itu adalah adat.
Ini yang menyebabkan kebanyakan anak muda yang ingin membina hubungan halal berhadapan dengan kebimbangan untuk mematuhi adat.
Segalanya disebabkan wang hantaran, bahkan ada antara mereka yang sanggup mengikat perut dan melakukan lebih satu kerja semata-mata untuk mengumpulkan duit belanja perkahwinan, mas kahwin dan wang pembelian barangan kemas.
Pun begitu, sebelum ini pernah tular di laman sosial yang memaparkan seorang bapa yang tidak meletakkan wang hantaran kepada pihak bakal pengantin lelaki sebaliknya meminta mereka untuk menjalankan amanah sebagai suami dengan sebaik-baiknya.
Perkongsian tersebut ternyata mendapat pujian ramai kerana tidak semua ibu bapa memiliki fikiran sama dalam memudahkan perkahwinan anak mereka. Tetapi menerusi perkongsian itu juga, ramai anak muda berkongsi pengalaman ‘pahit’ apabila terpaksa tunduk dengan adat dan ada yang terpaksa melakukan pinjaman bank kerana mahu berkahwin.
*Nor Syamira Liana Nor Ashaha adalah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!