‘Buat anak tahu, tapi kenapa tak pandai jaga?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ENTAHLAH, Merak Jalanan sudah penat nak cakap tentang isu penderaan kanak-kanak. Lagi kerap diperkatakan, makin berleluasa pula kesnya.

Kejadian terbaru, seorang kanak-kanak lelaki berjaya diselamatkan sebuah NGO apabila ditemui jiran dalam keadaan berbogel, menggigil dan tidak bermaya dalam bilik air.

Menurut siasatan juga, anak malang itu didapati mempunyai parut lama pada tubuh termasuk kesan lebam dan terbakar.

Apa yang menyedihkan Merak Jalanan, si pelaku adalah bapa kandung sendiri bersama teman wanita dan memang teruk anak itu ‘dikerjakan’ sampai berat badannya susut sebanyak 26 kilogram!

Inilah yang dikatakan, ‘buat anak’ tahu, tapi langsung tidak pandai jaga!

Apalah dosa seorang budak berusia lapan tahun?

Sekalipun dia nakal dan sukar dikawal, takkan sampai layak menerima hukuman tidak masuk akal?

Kadangkala puas Merak Jalanan fikir, apa lagi perlu kita lakukan untuk menyekat perbuatan ganas kepada kanak-kanak?

Artikel Berkaitan:

Walaupun ramai yang telah ditangkap dan dihukum kerana kesalahan dera anak, namun bolehkah dijamin jenayah sama tidak berulang?

Lebih memudaratkan keadaan, trauma akibat didera yang dialami anak- anak ini tidak akan mudah hilang, malah ada yang menghantui sehingga dewasa.

Kebanyakannya membesar dengan dendam kesumat yang membara dan natijahnya mereka mungkin berisiko mengulangi kesilapan sama kepada zuriat sendiri.

Ada juga mengalami depresi sepanjang hayat dan tidak hairan berlaku peningkatan kes serangan panik juga bipolar dalam kalangan remaja hari ini.

Merak Jalanan cuma nak pesan kepada anda yang sudah bergelar ibu atau bapa, ingatlah, anak-anak adalah amanah ALLAH kepada kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!