[VIDEO] Pas-PN dijangka jadi topik hangat

A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan dan hala tuju Pas sebagai parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka menjadi topik hangat dalam muktamar tahunan parti itu, hujung minggu ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu mendapat perhatian susulan prestasi memberangsangkan Pas dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Malah beliau turut memberi jaminan bahawa kepimpinan parti tidak mengehadkan perbahasan berkaitan isu berbangkit selagi tidak melanggar dan bercanggah dengan syarak.

“Ada beberapa perkara besar yang akan dibahaskan antaranya kedudukan Pas sebagai pembangkang, berbanding sebelum ini dalam kerajaan.

“Saya juga jangka perbahasan turut berkait situasi geopolitik yang berlaku di Gaza (Palestin), peperangan Ukraine dan impak kepada ekonomi negara serta masa depan Pas sebagai komponen PN.

“Oleh kerana kita bukan kerajaan, sebahagian yang dibawa itu nanti akan menjadi satu cadangan dan desakan kepada kerajaan dalam konteks pentadbiran negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim

Muktamar Tahunan Pas ke-69 dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, beberapa usul melibatkan kerjasama dan prospek pembangunan ekonomi di empat negeri diterajui PN turut menjadi fokus perbahasan.

“Muktamar kali ini diadakan selepas beberapa siri pilihan raya dan secara tidak langsung, beberapa perkara berkaitan akan dibangkitkan.

“Sebab itu saya lihat muktamar ini antara usaha memperkukuhkan PN, dibawa dalam satu mekanisme kerana kita dapati selepas post-mortem pilihan raya, wujud beberapa perkara yang perlu penambahbaikan khususnya untuk mencapai sasaran,” ujarnya.

Mengenai permuafakatan politik antara rakan-rakan parti dalam PN, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu menjelaskan, ahli Pas memahami dasar permuafakatan politik yang wujud dalam perikatan itu.

Malah beliau menegaskan, parti itu akan mempertahankan janji dan komitmen kepada akar umbi serta pengundi.

“Kita bergerak sebagai satu pasukan walaupun Pas dominasi dalam keputusan pilihan raya. Namun tanpa kerjasama antara parti dalam PN, kita tidak mungkin capai ke tahap ini.

“Termasuk juga Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia), walaupun hanya ada satu kerusi tetapi peranan mereka (serta) sokongan Dewan Himpunan Penyokong Pas dan ahli bersekutu dalam Bersatu, itu amat penting,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!