Manchester United rebah kena sengat di Watford
DUA gol babak kedua sudah cukup membolehkan kelab tercorot Watford melakar kemenangan 2-0 ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vicarage Road, sebentar tadi.
Gol yang hadir lima minit selepas perlawanan babak kedua bermula dijaringkan Ismaila Sarr hasil kesilapan penjaga gol The Red Devils, David de Gea yang gagal menangkap kemas percubaan lemah pemain itu.
Derita pelawat bertambah lagi selepas itu apabila The Hornets diberikan sepakan penalti selepas Aaron Wan-Bissaka mengasari Ismaila.
Troy Deeney yang mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan De Gea sekali lagi pada minit ke-54 untuk menokhtahkan kemenangan Watford.
Ini adalah kekalahan kelima skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer sekali gus meletakkan The Red Devils di kedudukan kelapan dengan 25 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!