Majlis Keselamatan PBB gagal lulus resolusi gencatan kemanusiaan
NEW YORK - Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam Majlis Keselamatan badan itu, yang gagal meluluskan resolusi berkaitan gencatan kemanusiaan.
Desakan bagi gencatan itu bertujuan membolehkan bantuan dihantar ke penduduk awam di Gaza.
Duta Palestin, Riyad Mansour berkata, bencana politik hampir berlaku namun Majlis Keselamatan PBB tidak mampu menyatakan satu perkara yang benar-benar penting ketika ini, iaitu hentikan pertumpahan darah.
"Untuk mereka yang berpandangan mereka boleh mengelak bencana kemanusiaan dan ancaman kepada serantau, sementara Israel meneruskan pengeboman dan membunuh penduduk Palestin, fikir sekali lagi.
"Rantau ini bersatu memberitahu anda ia tidak mustahil berlaku. Dengar pandangan mereka. Satu-satunya jalan untuk menghentikan kedua-duanya adalah dengan menamatkan keganasan jenayah terhadap penduduk kami," katanya.
Proses pengundian untuk teks resolusi yang disediakan Brazil tertangguh dua kali ketika Amerika Syarikat (AS) cuba menjadi pengantara untuk akses kemanusiaan ke Gaza, sementara 12 anggota majlis keselamatan menyokong resolusi itu, dengan Rusia dan Britain berkecuali.
Draf resolusi itu, tanpa menamakan Israel, mendesak supaya arahan pemindahan kakitangan PBB dan penduduk Gaza ke selatan dibatalkan.
Setiausaha Agung PBB pada Rabu mendesak gencatan kemanusiaan dikuatkuasakan segera, untuk membolehkan tahanan dibebaskan dan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Israel telah meletakkan Gaza dalam kepungan keseluruhan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!