Turkiye isytihar berkabung tiga hari, hormati syuhada di Gaza

Lebih 500 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza. - Foto AFP
Lebih 500 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza. - Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL - Turkiye mengisytiharkan berkabung peringkat nasional selama tiga hari sebagai penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam serangan di Gaza.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan perkabungan itu, pada Rabu.

Menurut Erdogan, perkabungan nasional selama tiga hari telah diisytiharkan sebagai keperluan untuk menghormati ribuan syuhada yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah.

“Di Turkiye, kami merasakan penderitaan hebat saudara dan saudari Palestin di dalam hati kami,” tambah Erdogan.

Sebelum ini, Mesir mengisytiharkan tiga hari berkabung nasional bagi mangsa serangan udara Israel ke atas sebuah hospital di Gaza.

Gaza kini sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk tanpa bekalan elektrik, manakala bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan telah kehabisan.

Sekurang-kurangnya 471 orang terbunuh dan 342 yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza lewat Selasa, kata Kementerian Kesihatan Gaza pada hari Rabu.

Israel, bagaimanapun, telah menafikan bertanggungjawab terhadap serangan udara itu.

Artikel Berkaitan:

Konflik bermula pada 7 Oktober apabila Hamas memulakan Operasi Banjir Al-Aqsa, serangan mengejut pelbagai termasuk pelancaran roket dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Hamas berkata, pencerobohan itu sebagai membalas dendam terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka Israel.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah menggesa 'gencatan senjata kemanusiaan segera' untuk mengurangkan 'penderitaan manusia.'

Sekurang-kurangnya 3,478 rakyat Palestin setakat ini telah terbunuh, manakala angka itu berjumlah lebih 1,400 orang di Israel. - Agensi/ Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!