Graduan dari tirai besi
KUALA LUMPUR - Keinginan untuk menyambung pengajian tidak pernah luntur dalam diri dua pemuda dari Sabah ini, meskipun menyedari mereka perlu menghabiskan hampir keseluruhan usia muda di sebalik tirai besi.
Bagi Farhan dan Amri (masing-masing bukan nama sebenar), status sebagai penghuni penjara di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah, bukanlah penghalang untuk mengejar cita-cita dalam pelajaran.
Farhan, 32, yang sedang menjalani hukuman sepanjang hayat sebagai Tahanan Limpah Tuan Yang Terutama atas kesalahan di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan pada 2010, mengakui keputusannya menyambung pengajian adalah untuk membanggakan kedua ibu bapanya.
"Saya sudah berada di penjara sejak berusia 17 tahun. Saya ingin buktikan kepada keluarga terutama arwah ibu, yang penjara bukan hanya tempat untuk menghukum tetapi juga pusat untuk memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik.
"Penjara banyak mengajar saya erti kehidupan dengan memberi peluang kepada saya untuk menimba pelbagai ilmu dan kemahiran,” katanya kepada Bernama selepas menerima skrol Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Pro Canselor Open University Malaysia (OUM) Tan Sri Azman Hashim pada Majlis Konvokesyen ke-27 OUM, yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, di sini, bermula 14 hingga 17 Oktober lepas.
Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2010, Farhan memilih untuk menyambung pengajian di OUM pada 2014, namun terhenti seketika pada 2019 dan kembali meneruskan pengajian pada 2021.
"Saya hampir tersungkur di pertengahan jalan. Namun, berkat sokongan keluarga, guru dan rakan sepenjara membuatkan saya kembali bertekad untuk berjaya. Jika dahulu, saya tersilap langkah, kini saya mahu buktikan kepada masyarakat yang banduan juga boleh berjaya," katanya.
Bahkan, anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu tetap optimis dalam mencorakkan masa hadapannya, agar tidak mengulangi sejarah kelam, malah turut memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda sekiranya berpeluang.
"Saya berterima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana memberi peluang untuk saya kembali belajar malah hingga ke universiti. Bagi saya, gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya," katanya yang turut memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 pengkhususan dalam bidang jahitan.
Bagi Amir, 30, pula, walaupun situasi pembelajaran di penjara jauh berbeza dengan di luar kerana terikat dengan undang-undang yang ditetapkan, ia bukan penghalang baginya untuk melanjutkan pelajaran sehingga berjaya memperoleh Diploma Pengurusan Perniagaan daripada OUM.
Beliau yang berasal dari Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah berkata, kejayaan yang dikecapi itu adalah hasil dorongan keluarga dan rakan di penjara serta guru yang tidak putus-putus membantunya dalam mendapatkan bahan pembelajaran.
"Pengalaman belajar di dalam penjara amat mencabar apatah lagi selepas OUM memperkenalkan pengajian secara dalam talian. Lagi pula, penggunaan Internet di penjara terhad tetapi pelbagai perkara perlu dilakukan, sehingga membuatkan saya hampir patah semangat selain diburukkan lagi apabila dijangkiti Covid-19.
"Namun, saya terharu dan menghargai usaha Jabatan Penjara Malaysia, OUM dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung kerana memberikan peluang kedua kepada saya untuk meneruskan pengajian," katanya.
Dalam pada itu, anak kedua daripada lima beradik itu yang menjalani hukuman penjara sejak berusia 16 tahun, sempat menitipkan pesanan kepada masyarakat di luar sana agar sentiasa meluangkan masa mengeratkan dan menghargai hubungan kekeluargaan.
Amri, disabitkan kesalahan di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan pada 2011, kini sedang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sebagai Tahanan Limpah Tuan Yang Terutama di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!