Gagal ikut spesifikasi Air Selangor, JKR punca lewat serah kunci

Nurul (tiga dari kanan) bersama wakil pemaju dan pembeli mengadakan perjumpaan di Taman Mutiara Kuala Selangor pada Rabu.
Nurul (tiga dari kanan) bersama wakil pemaju dan pembeli mengadakan perjumpaan di Taman Mutiara Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Punca kelewatan serahan kunci projek perumahan Taman Mutiara Kuala Selangor di sini disebabkan kegagalan pemaju mengikut spesifikasi ditetapkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, penjelasan itu dimaklumkan kepada beliau semasa mengadakan perjumpaan bersama pemaju dan wakil daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan laporan kemajuan daripada Air Selangor dan JKR memaklumkan pemaju mula mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

"Kita semua berharap pemaju dapat melaksanakan projek ini segera dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan dan seterusnya memperoleh CCC (sijil perakuan siap kerja)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan, kira-kira 100 pembeli sebuah projek perumahan di Kuala Selangor kecewa apabila masih belum dapat diduduki meskipun sudah membuat bayaran setiap bulan.

Penduduk mendakwa, pemaju sepatutnya menyerahkan kunci rumah membabitkan teres setingkat dan dua tingkat itu kepada pembeli selewat-lewatnya awal tahun ini.

Nurul Syazwani memberitahu, projek perumahan itu dikategorikan sebagai projek 'sakit' di bawah KPKT yang sepatutnya siap pada tahun 2020 lalu.

Sehubungan itu, katanya, KPKT memberi jaminan akan terus membuat pemantauan berhubung kemajuan projek perumahan itu dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Jika sebelum ini, KPKT meminta laporan kemajuan daripada pemaju sebulan sekali, selepas ini dua minggu sekali untuk memastikan semuanya berjalan lancar," jelas beliau.

Nurul memberitahu, beliau turut mengesyorkan adanya komunikasi berkesan antara pihak pemaju dan pembeli untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.

"Saya dapat lihat komitmen pemaju yang memberi kerjasama baik dan berjanji untuk selesaikan segera selewat-lewatnya awal tahun depan," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!