Pemandu BMW lawan arus dilepaskan dengan jaminan polis
GEORGE TOWN - Pemandu wanita yang memandu kereta BMW secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada awal pagi 2 Oktober lalu telah ditahan namun dilepaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, wanita berusia 41 tahun itu ditahan pada 9 Oktober lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di sini.
"Wanita yang berasal dari Alor Setar itu ditahan bagi membantu siasatan selepas keterangan diambil.
"Bagaimanapun, dia dilepaskan dengan jaminan polis kerana masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan rawatan susulan di hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kata Soffian, kertas siasatan telah dilengkapkan dan akan dirujuk ke pejabat pendakwaan negeri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan pertuduhan terhadap suspek.
"Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.
Ujar beliau, sehingga Rabu, seramai empat individu telah diambil keterangan termasuk wanita berkenaan dan pemandu kereta Perodua Bezza.
"Kedua-dua pemandu berkenaan yang sebelum ini menerima rawatan dan ditahan di wad telah dibenarkan pulang.
"Pemandu Perodua Bezza dibenarkan pulang pada 11 Oktober manakala pemandu BMW pada 9 Oktober," katanya.
Dalam kejadian itu, Pemandu Perodua Bezza cedera selepas kenderaannya dirempuh sebuah kereta mewah yang dipandu melawan arus dalam kejadian di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.
Hasil siasatan awal, pemandu wanita tersebut memberi alasan bahawa dia panik kerana tersalah jalan dan tidak tahu berpatah balik semasa kejadian berlaku.
Ketika kejadian, wanita yang bekerja sebagai pegawai bank di sini dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar dari sebuah restoran di Persiaran Karpal Singh dan memandu melawan arus sejauh lima kilometer sebelum kemalangan.
Akibat kejadian itu, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan serius dan menjalani pembedahan untuk memotong usus kecil di Hospital Pulau Pinang manakala pemandu wanita berkenaan hanya mengalami pening dan sesak nafas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!