JKM bincang dengan KDN, PDRM cadangan wajibkan saringan pengasuh
KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan berbincang bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneliti cadangan untuk mewajibkan saringan tapisan keselamatan kepada calon yang ingin bekerja sebagai pengasuh.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri berkata, perkara itu sebagai usaha untuk mengurangkan kes penderaan kanak-kanak di bawah jagaan pihak luar seperti di taska dan pusat asuhan.
"Kita akan melihat calon pengasuh ini sama ada bersama-sama pengusaha taska akan dikehendaki menjalani ujian psikometrik,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu langkah yang diambil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengurangkan kes dera kanak-kanak yang semakin meningkat di Malaysia serta bantuan yang diberikan kepada mangsa.
Nancy berkata, JKM telah menggariskan penambahbaikan dalam usaha mengurangkan kes penderaan kanak-kanak di bawah jagaan pihak lain seperti memperkemas pasukan penguatkuasaan dan menyusun semula penempatan pegawai di setiap daerah.
Setiap pegawai berkenaan katanya, akan memberi fokus kepada aspek pemantauan dan tindakan penguatkuasaan khususnya di taska dan pusat jagaan dengan setakat ini, terdapat 43 daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko.
Selain itu, beliau berkata, JKM turut memperketatkan peraturan dan garis panduan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di taska dengan pengusaha harus memastikan tiada titik buta dalam liputan CCTV itu kecuali di tempat privasi seperti bilik air dan bilik persalinan pakaian.
Sementara itu, Nancy berkata, usaha untuk mengurangkan risiko penderaan kanak-kanak ketika dalam penjagaan keluarga memerlukan pendekatan yang berbeza kerana penderaan dalam komuniti atau keluarga meliputi pelbagai faktor yang lebih luas, melangkaui bidang kuasa dan kemampuan KPWKM dan JKM semata-mata.
Namun katanya, kementerian melaksanakan pelbagai inisiatif kesedaran untuk menangani kes dera seperti Program Kesedaran Terhadap Hukuman Pendera Kanak-Kanak, memperkasakan kanak-kanak termasuk program advokasi di sekolah dan program memperkasa komuniti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!