Redah banjir hulur bantuan
PASIR MAS - Memandu pacuan empat roda sambil meredah arus deras banjir yang berkedalaman antara 0.3-0.5 meter bukan tugas mudah buat golongan wanita.
Hal ini kerana kebiasaannya pemanduan ‘berisiko’ itu dimonopoli oleh golongan lelaki.
Mana tidaknya, tugasan itu bukan sahaja memerlukan kemahiran yang tinggi dan perlu bijak dalam 'membaca' pergerakan arus air bagi mengelakkan berlaku sebarang kecelakaan.
Disebabkan mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terkepung, Ketua Wanita Pakatan Anak-Anak Pasir Mas (Peka), Anita Mat Yusoh, 49, menyembunyikan perasaan takut dengan meredah arus banjir bagi memastikan niat murninya itu terlaksana.
"Tipulah kalau saya cakap tidak takut setiap kali meredah arus deras banjir kerana ia melibatkan risiko yang tinggi terutama dalam soal keselamatan nyawa.
"Namun perasaan itu 'hilang' secara tiba-tiba apabila memikirkan nasib mangsa-mangsa banjir yang terkepung," katanya ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Menurutnya, sepanjang menghantar bantuan itu dia pernah berdepan detik cemas ketika meredah banjir di Pohon Tanjong dan Siram.
Katanya, bukan sahaja paras air yang agak dalam malah dia turut berdepan dengan arus deras.
"Ketika itu mulut saya tak putus-putus berzikir dan berdoa semoga semuanya berjalan lancar.
"Alhamdulillah, dengan izin ALLAH saya berjaya menempuh cabaran itu dengan jayanya," katanya.
Anita berkata, beliau kini makin selesa dan berani untuk menjayakan misi mengagih bantuan ke kawasan yang terjejas dengan banjir.
Baginya setiap kali melihat senyuman yang terukir di wajah mangsa banjir ia sudah cukup memberikan kepuasan kepada pengusaha kedai makan di Slow Machang ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!