Guru sambilan palsukan dokumen penyata akaun bank direman

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang guru sambilan direman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan kes menyediakan dokumen penyata akaun bank yang mengandungi butir matan palsu.

Perintah reman bermula Khamis sehingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Sasha Diana Sabtu selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret dekat sini pada Khamis.

Suspek ditahan pada jam 7.10 petang Rabu ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Pada Rabu, media melaporkan SPRM Selangor menahan reman seorang pengarah syarikat selama empat hari bagi membantu siasatan mengemukakan penyata akaun bank mengandungi butir matan palsu pada 2019.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bersubahat dengan pengarah syarikat berkenaan menyediakan dokumen penyata bank yang mengandungi butir matan palsu pada 2019.

Pengarah syarikat berusia 30-an itu ditahan, kira-kira jam 3.30 petang, Rabu, di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Difahamkan, dokumen dipalsukan itu bagi memenuhi syarat penilaian kewangan ketika menyertai perolehan secara sebut harga pada 2019 membabitkan kerja perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan landskap sebuah bangunan berjumlah lebih RM170,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: