Selangor kutuk serangan Israel musnahkan hospital, rumah

Amirudin (tengah) merasmikan pembukaan acara SIBS yang membuka tirai pada Khamis di KLCC.
Amirudin (tengah) merasmikan pembukaan acara SIBS yang membuka tirai pada Khamis di KLCC.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selangor mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan Israel susulan serangan terhadap Palestin khususnya di hospital, tempat ibadah dan rumah penduduk.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor bersimpati dengan rakyat Palestin dan akan bersolidariti terhadap semua pihak yang memperjuangkan keadilan dan keamanan.

"Bagi pihak rakyat Selangor, kami mengutuk sepenuhnya tindakan keganasan ini. Ia merupakan serangan tidak bertanggungjawab terhadap berjuta rakyat Palestin yang tidak berdaya termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua.

"Kami bersolidariti dengan semua yang menegakkan keamanan dan keadilan, bukan hanya melalui kata-kata tetapi dalam tindakan yang betul dan bermakna," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

SIBS yang membuka tirai pada Khamis akan berlangsung selama empat hari hingga Ahad menghimpunkan penyertaan 1,050 reruai dengan sasaran potensi nilai jualan RM1.5 bilion.

Dalam pada itu, setakat Rabu, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan udara Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 2,808 orang.

Sekurang-kurangnya 10,859 rakyat Palestin cedera dalam pengeboman Israel di kawasan pinggir laut, Gaza.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!