Mansuh aliran Sains, Sastera susahkan pelajar dan ibu bapa

Sebelum ini Kementerian Pendidikan mengumumkan telah menghantar surat kepada sekolah menengah di seluruh negara berhubung pemansuhan aliran Sains dan Sastera bagi pelajar tingkatan empat yang dijangka dilaksanakan tahun depan. (Gambar kecil: Jeevabalan)
Sebelum ini Kementerian Pendidikan mengumumkan telah menghantar surat kepada sekolah menengah di seluruh negara berhubung pemansuhan aliran Sains dan Sastera bagi pelajar tingkatan empat yang dijangka dilaksanakan tahun depan. (Gambar kecil: Jeevabalan)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pemuda MIC Kedah membidas Kementerian Pendidikan yang tidak memberi satu garis panduan jelas berhubung pemansuhan aliran Sains dan Sastera.

Ketuanya, Jeevabalan Jayaraman berkata, ada guru yang mendakwa mereka tidak diberikan maklumat jelas mengenai pemansuhan itu selain rungutan ibu bapa serta pelajar yang terkejut dengan perubahan berkenaan.

Menurutnya, kementerian sepatutnya memaklumkan perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Saya menerima rungutan kebimbangan guru mengenai pelaksanaan perubahan dalam konteks penyusunan jadual pembelajaran, pembahagian bilik darjah dan sebagainya.

"Cukupkah tempoh yang singkat ini untuk mereka membuat persediaan dan membantu pelajar memilih subjek yang sesuai dengan mereka?

"Pemilihan subjek penting kerana menentukan kursus di peringkat universiti kelak," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan tergesa-gesa membuat perubahan tanpa memikirkan kesan termasuk implikasi terhadap kursus di peringkat universiti selain bertentangan dengan Kementerian Pendidikan yang menggalakkan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Ketika ini kebanyakan universiti kekurangan pelajar aliran Sains membabitkan subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik dan Matematik Tambahan.

Artikel Berkaitan:

"Jika semuanya sudah bercampur aduk, bagaimana pihak universiti hendak mengkategorikan pelajar untuk kursus pengajian berasaskan Sains?

"Adakah perubahan ini perlu sedangkan banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan bagi memastikan kecemerlangan dalam sistem pendidikan negara," katanya.

Jeevabalan memohon Kementerian Pendidikan berbincang dengan beberapa pihak sebelum menetapkan sebarang perubahan kerana sistem baharu secara terburu-buru menjadi beban kepada masa depan sistem pendidikan negara.

"Ini bukanlah seperti isu kasut hitam yang tidak memerlukan SOP (Prosedur operasi standard). Berfikirlah secara rasional sebelum melakukan perubahan," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan telah menghantar surat kepada sekolah menengah di seluruh negara berhubung pemansuhan aliran Sains dan Sastera bagi pelajar tingkatan empat yang dijangka dilaksanakan tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!