Penyokong jaga kelakuan, jangan sampai berlaku rusuhan

Khairudin (kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian program Sehari Bersama Wira Negara anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru pada Khamis.
Khairudin (kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian program Sehari Bersama Wira Negara anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru pada Khamis.
A
A
A

PENYOKONG bola sepak Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) diminta menjaga kelakuan dan tidak melakukan sebarang provokasi sepanjang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Perak malam ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, sebarang bentuk provokasi di dalam mahu pun di luar stadium melibatkan individu dan pasukan perlu dielakkan agar tidak mencetuskan pergaduhan dan rusuhan.

Menurutnya, matlamat utama perlawanan malam ini adalah untuk menyaksikan satu permainan menarik antara kedua-dua pasukan tanpa insiden menyalahi peraturan pihak berkuasa.

"Kita tidak mahu ada isu atau perlakuan yang mungkin boleh menyebabkan keadaan tidak begitu ceria di stadium hingga berlakunya pergaduhan, rusuhan dan sebagainya.

"Jadi saya minta mereka yang hadir untuk sama-sama beri sokongan dengan berkelakuan positif, menunjukkan semangat kesukanan tinggi dalam memastikan kemajuan sukan bola sepak itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sehari Bersama Wira Negara anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru dekat sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abdul Aziz dan Presiden Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak, Dr Ahmad Jelani Halimi.

Pada April 2014, insiden pergaduhan besar membabitkan penyokong The Bos Gaurus dan Harimau Selatan itu tercetus di luar pekarangan stadium dalam aksi Liga Super yang berkesudahan Perak tumpas 0-1 kepada JDT di Stadium Perak.

Artikel Berkaitan:

Insiden berkenaan berulang pada Ogos 2016 apabila Perak sekali lagi tumbang di laman sendiri kepada JDT dengan jaringan sama dan ia turut menyebabkan kecederaan menimpa seorang petugas media.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, seramai 397 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sempena perlawanan malam ini.

Bukan hanya kawalan di pintu masuk sahaja, anggota juga akan berpakaian preman untuk ditempatkan dalam kalangan penonton.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!