SIBS 2023 buka tirai hari ini
KUALA LUMPUR - Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 membuka tirai dengan penyertaan 1,006 reruai bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula Khamis.
Exco Pelaburan Perdagangan & Mobiliti, Ng Sze Han berkata, program berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini menyasarkan potensi jualan RM1.5 bilion.
Menurutnya, SIBS yang memasuki tahun ketujuh penganjuran itu menyediakan rangkaian perniagaan serantau dan menjadi antara pasaran antarabangsa terbesar di Malaysia dengan penyertaan peserta luar negara, pelawat perdagangan dan peserta persidangan.
"Acara terbesar SIBS 2023 ialah Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B) menghimpunkan 303 reruai dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa dari China, Indonesia, Jepun, Uganda, Vietnam, Kazakhtan, Korea, Turkiye, Kenya dan Australia.
"Sebagai tambahan, terdapat penyertaan 18 peserta dari Selangor, Perak, Kedah, Johor, Sarawak, Melaka selain daripada kementerian dan agensi seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Malaysia Cocoa Board serta Jabatan Perikanan Malaysia, " katanya pada upacara pembukaan SIBS pada Khamis.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sze Han berkata, SIBS 2023 turut diisi program utama Selangor ASEAN Business Conference (SABC), Selangor Smart City & Digital Economy Convention, Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE) dan Selangor Industrial Park Expo (Spark).
"Forum SABC akan membincangkan topik cabaran geo-ekonomi dan peluang bagaimana Selangor mampu memainkan peranan sebagai 'privotal role' dalam mempromosi kerjasama merentas sempadan.
"Tahun ini juga SABC melanjutkan tempoh persidangan kepada dua hari berbanding satu hari pada tahun-tahun sebelumnya," katanya.
Ujarnya, SIBS akan terus memainkan peranan sebagai tempat pemain industri tempatan dan antarabangsa meneroka potensi pasaran Malaysia dan serantau.
Tambahnya, dengan 328 pelabur daripada 26 negara selain pelawat perdagangan serta delegasi luar, SIBS 2023 menyasarkan memperkukuh reputasi peringkat antarabangsa dan mengembangkan pelaburan ASEAN ke Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!