Dewan Perwakilan AS gagal pilih speaker baharu pusingan kedua pengundian

Jim Jordan kehilangan lebih banyak undi dengan 22 undi Republikan pada pusingan kedua pengundian penuh dewan, berbanding 20 anggota Republikan yang tidak menyokongnya pada pusingan pertama pada Selasa. - Foto: Reuters
Jim Jordan kehilangan lebih banyak undi dengan 22 undi Republikan pada pusingan kedua pengundian penuh dewan, berbanding 20 anggota Republikan yang tidak menyokongnya pada pusingan pertama pada Selasa. - Foto: Reuters
A
A
A

WASHINGTON - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada Rabu gagal memilih speaker baharu dalam pusingan kedua pengundian.

Ini kerana pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Dewan itu, Jim Jordan kehilangan lebih banyak undi daripada partinya sendiri berbanding pada pusingan pertama di tengah-tengah persaingan dalam Parti Republikan yang berterusan.

Jordan memenangi 199 undi daripada 221 anggota Republikan di Dewan itu, kehilangan 22 undi Republikan pada pusingan kedua pengundian penuh dewan, berbanding 20 anggota Republikan yang tidak menyokongnya pada pusingan pertama pada Selasa.

Keputusan itu menunjukkan penentangan yang semakin meningkat dalam parti Republikan dan menimbulkan keraguan terhadap cara untuk menyelesaikannya.

Empat anggota Republikan yang mengundi Jordan pada Selasa berpaling tadah dalam pusingan kedua pengundian.

Calon Republikan itu bagaimanapun mendapat sokongan daripada dua anggota lain dan memperoleh satu lagi undi daripada anggota yang tidak hadir pada pengundian pertama.

Dalam kalangan 22 anggota Republikan itu, lima mengundi bekas speaker Kevin McCarthy, yang disingkirkan daripada jawatan berkenaan dua minggu lalu manakala tujuh lagi mengundi Steve Scalise, yang sebelum ini memenangi pencalonan speaker Republikan tetapi gagal menyatukan parti serta menarik diri daripada persaingan jawatan berkenaan.

Tiga lagi mengundi Lee Zeldin, yang bukan merupakan anggota Kongres buat masa ini. Seorang anggota mengundi bekas Speaker Dewan John Boehner, yang terpaksa bersara pada 2015 disebabkan oleh ugutan daripada para anggota berhaluan kanan yang menggulingkan McCarthy.

Artikel Berkaitan:

Pemimpin Minoriti Dewan Perwakilan Hakeem Jeffries, calon Democrat, menerima kesemua 212 undi daripada partinya.

Dengan majoriti tipis Republikan 221-212 di dalam dewan, Jordan hanya boleh kehilangan sehingga empat undi daripada Republikan jika semua anggota hadir untuk mencapai ambang majoriti dan memenangi jawatan Speaker. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!