Pasukan Bomba Komuniti Atas Air pertama ditubuh di Sabah
KOTA KINABALU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menubuhkan Pasukan Bomba Komuniti Atas Air pertama di negeri ini di Kampung Tanjung Aru di sini.
Pengarahnya, Abdul Razak Muda berkata, penubuhan pasukan bomba komuniti itu mengambil kira risiko berlaku kebakaran di kawasan perkampungan atas air di Sabah adalah sangat tinggi.
Menurutnya, pihaknya merancang untuk menubuhkan tiga lagi Pasukan Bomba Komuniti Atas Air di Kota Kinabalu dan Tawau.
"Di Tawau kita menyasarkan Kampung Titingan atau Kampung Hidayat iaitu dua lokasi yang berlaku kebakaran paling besar pada tahun lalu melibatkan 700 rumah.
"Ia akan disusuli dengan dua lagi penubuhan iaitu di Kampung Bukhara, Sandakan dan Kampung Landung Ayang di Kudat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti Peringkat Zon Kota Kinabalu di Kampung Tanjung Aru, di sini pada Khamis.
Tambah Abdul Razak lagi, tujuan penubuhan pasukan bomba komuniti ini adalah supaya penduduk boleh bertindak lebih awal sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian jika berlakunya kebakaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!