PRK Jepak: Bakal calon diingatkan isi borang, buat semakan awal - SPR
BINTULU - Bakal calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak disaran mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon, Sabtu ini.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, bakal calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Bintulu sebagai bukti pembayaran.
"Bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.
"Setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki pusat penamaan calon,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan bermula jam 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon.
Ikmalrudin juga menyeru bakal calon dan parti politik terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Beliau berkata, pada hari penamaan calon, penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik menerusi apa-apa cara, termasuk penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon,” katanya.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 November ini, manakala pengundian awal 31 Oktober.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
PRK itu melibatkan seramai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!