India setuju kembali eksport beras putih ke Malaysia
KUALA LUMPUR - Kerajaan India menyatakan persetujuan untuk kembali mengeksport beras putih kepada Malaysia selepas mengambil langkah menghentikannya pada Julai lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya bagaimanapun akan meneliti terlebih dahulu terutama harga yang akan ditawarkan.
"Kita akan lihat dulu sebelum membuat apa-apa perubahan kerana sekarang baru peringkat persetujuan.
"Sebab lepas ini akan ada peringkat seterusnya, untuk meneliti dari segi penilaian harga sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya selepas Majlis Pra Pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di sini, pada Khamis.
India sebelum ini dilaporkan mengambil keputusan untuk menghentikan eksport beras putih bukan basmati sebagai langkah mengelakkan lonjakan harga bekalan domestik.
Susulan itu, kementerian pada 25 September lalu memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan India secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu sekatan eksport beras putih.
Mohamad Sabu berkata, permohonan agar pengeksportan beras putih dari India diteruskan ke negara ini antara yang akan dibincangkan sewaktu bertemu Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India, kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!