MAIPk peruntuk RM2.5 juta perkasa ekonomi asnaf
IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi melaksanakan program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, program yang dilaksanakan menerusi Skim Latihan Keusahawanan Asnaf dan Skim Bantuan Modal Perniagaan itu dapat memberi manfaat kepada 300 asnaf.
"PROPER A merupakan program dilaksanakan MAIPk sejak 2016 bertujuan membangunkan potensi asnaf dan penerima bantuan melalui program bersifat keusahawanan serta kegiatan perniagaan berskala kecil.
"Antara program dilaksanakan adalah kulinari dan pastri, tanaman cendawan tiram, kursus refleksologi dan urutan mobile, ternakan ayam kampung dan pembuatan pusara," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peralatan Peserta Kursus Kulinari dan Pastri di sini pada Rabu.
Pada majlis itu, Shahrul Azam turut menyampaikan pembekalan peralatan kulinari dan pastri bernilai RM5,000 bagi setiap peserta.
Shahrul Azam berkata, peserta disarankan saling membantu membangunkan ekonomi umat Islam dengan menjadi usahawan yang berjaya serta mampu membayar zakat pada masa akan datang.
"Matlamat program ini membangunkan kebolehupayaan peserta menghadapi dunia perniagaan sebenar dan melahirkan para muzakki baharu.
"Peserta diharapkan memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus ini dengan sebaiknya demi meningkatkan pendapatan keluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!