NS mampu tingkat pengeluaran hasil padi pada 2028
SEREMBAN - Negeri Sembilan mampu meningkatkan pengeluaran hasil padinya dari 4.3 tan per hektar kepada enam tan menjelang tahun 2028 sekiranya kesemua keluasan tanah sawah di negeri ini dapat diusahakan dengan baik.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ketika ini negeri mempunyai keluasan pasel padi seluas 1,992 hektar dan 1,223 hektar yang lazim diusahakan dengan tanaman padi.
"Ia merangkumi 13 skim padi di empat buah daerah iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin.
“Namun, pada tahun 2023 hanya 755 hektar sahaja yang ditanam padi di Negeri Sembilan disebabkan kerja menaik taraf sistem pengairan di kebanyakan skim padi tersebut, " katanya pada Seminar Teknologi Padi dan Seminar Pemasaran Digital Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Negeri Sembilan Tahun 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Menurutnya, menjadi salah satu agenda sekuriti makanan di negeri ini untuk membina sebuah pusat pemprosesan padi berskala kecil di Negeri Sembilan untuk penghasilan beras kegunaan rakyat di negeri ini.
Selain itu katanya, usahawan industri hiliran di negeri ini perlu diberikan pendedahan tentang pemasaran digital seiring dengan perubahan zaman dan teknologi semasa.
"Kita tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan teknologi pada ketika ini kerana walaupun kita berada dalam bidang pertanian, tapi biarlah kita menjadi petani yang maju dan berteknologi tinggi.
“Ramai orang tidak tahu bahawa di Negeri Sembilan mempunyai banyak produk hiliran yang sedap, kerepek ubi yang ranggup, bahulu dan dodol yang mempunyai rasa unik dan tersendiri, "katanya.
Ujarnya, sebanyak 717 projek usahawan yang berdaftar di Jabatan Pertanian, namun kini hanya 422 projek usahawan yang aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!