Lawatan Mohamad perkasa kerjasama pertahanan serantau Malaysia-Korea

Mohamad mengadakan lawatan kerja dua hari ke Republik Korea untuk bertemu rakan sejawatnya, Shin Won Sik bagi membincangkan hala tuju pemerkasaan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara. - Foto Bernama
Mohamad mengadakan lawatan kerja dua hari ke Republik Korea untuk bertemu rakan sejawatnya, Shin Won Sik bagi membincangkan hala tuju pemerkasaan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan dua hari ke Korea Selatan bermula semalam dan hari ini bagi membincangkan hala tuju pemerkasaan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan lawatan berkenaan ialah atas jemputan bekas Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Jong-Sup dan Mohamad turut bertemu dengan menteri pertahanan republik itu yang baharu dilantik iaitu Shin Won Sik.

Menurut MINDEF, menerusi pertemuan itu, kedua-dua menteri terbabit telah memberikan komitmen untuk mempertingkatkan kerjasama pertahanan sedia ada dan meneroka peluang kerjasama pertahanan yang baharu termasuk aspek kerjasama ketenteraan serta industri pertahanan.

"Mereka turut membincangkan peranan Malaysia dan Korea Selatan selaku Pengerusi Bersama dalam bidang Keselamatan Siber bagi Kumpulan Kerja Pakar Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus),” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Mohamad turut menghadiri Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2023 dan Pameran Pertahanan dan Aeroangkasa Seoul (ADEX) 2023 yang sedang berlangsung.

Kenyataan itu memaklumkan, penyertaan delegasi Malaysia ke SDD 2023 dan ADEX 2023 adalah bagi menzahirkan komitmen berterusan Malaysia untuk terus mengukuhkan kerjasama pertahanan bersama Korea Selatan.

Menurut MINDEF, Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan ketua delegasi negara lain antaranya dari Australia, Singapura, United Kingdom dan Brunei selain bertemu dengan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Nazarudin Ja'afar dan ketua jabatan di Kedutaan Malaysia bagi berkongsi perkembangan mutakhir Malaysia serta perspektif negara ke atas perkara melibatkan keamanan serantau.

Kenyataan itu memaklumkan Kerajaan Malaysia dan Korea Selatan pada 2022 telah memeterai Memorandum Persefahaman berhubung kerjasama dalam bidang pertahanan dan pada Februari lepas, Kementerian Pertahanan Malaysia menandatangani Surat Setuju Terima bagi perolehan 18 unit FA-50 Block 20 Fighter 'Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft' (FLIT-LCA) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!