Dua LRA beroperasi kembali jika tiada pencemaran bau dikesan
SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi yang dihentikan tugas sejak pagi Sabtu lalu tidak akan beroperasi kembali sehingga pencemaran bau mencapai paras kekal 0 ton iaitu tiada langsung pencemaran bau dikesan.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, ia bagi mengelakkan sebarang insiden bau tidak diingini berlaku kepada air terawat di LRA dan pengguna.
Menurutnya, berdasarkan bacaan direkodkan pada jam 11 pagi semalam, kadar pencemaran turun ke paras 1 ton selepas pelbagai usaha berterusan dilakukan pihaknya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
"Kami menjangkakan pencemaran bau ini pulih ke paras 0 ton beberapa jam kemudian ditambah dengan hujan lebat pada sebelah petang diharap dapat mempercepatkan proses pencairan.
"Namun, berdasarkan pemantauan dijalankan sehingga jam 6 pagi tadi, kadar pencemaran bau masih kekal di paras 1 ton dan kadang kala naik ke paras 2 ton.
"Sehubungan itu, pihak kami tidak dapat memulakan operasi LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi sehingga pencemaran bau mencapai tahap kekal 0 ton," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Halem berkata, pihaknya memahami kesulitan dihadapi pengguna terjejas sekali gus kesal perbuatan tidak bertanggungjawab pihak mencemarkan sungai tanpa menyedari tindakan terbabit memberikan kesulitan kepada 336,930 akaun pengguna air di empat wilayah.
Menurutnya, pihaknya masih melaksanakan segala usaha bagi menyalurkan bantuan bekalan kecemasan berterusan melalui lori tangki air, edaran botol air minum, pengaktifan Pusat Khidmat Setempat dan pili awam yang beroperasi 24 jam sehari.
"Seperti dimaklumkan dalam hebahan sebelum ini, sebanyak enam pili awam ditambah dan sehingga jam 6 pagi tadi sebanyak 4,032 botol air minum diagihkan di kawasan terlibat.
"Air Selangor juga membuka kaunter pembelian air untuk pihak ketiga mulai hari ini.
Bagi pembelian air oleh pihak ketiga, ia boleh dilakukan menerusi kaunter wilayah yang tidak terjejas iaitu Kuala Lumpur, Gombak dan Klang. Selepas pembayaran dibuat, resit bayaran perlu di kemukakan di lokasi ditetapkan untuk mengambil air," katanya.
Menurutnya, Air Selangor akan mengemaskini status pemulihan dari semasa ke semasa serta jangka masa loji kembali beroperasi.
"Kerjasama pengguna terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini amat kami hargai dan segala kesulitan adalah dikesali.
"Pengguna boleh merujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang di www.airselangor.com untuk maklumat dan status terkini.
"Pelanggan juga boleh menghubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-2800919/019-2816793 untuk bantuan," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 328,957 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak Sabtu lalu ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.
LRA Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran terbabit.
Jumlah akaun, pengguna terjejas bertambah kepada 336,930 apabila LRA Bukit Tampoi yang menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut dihentikan operasi sejak semalam.
Senarai lokasi pili awam:
Wilayah Petaling
-Masjid Puchong Perdana
-USJ3A/1
-Depoh Tunda MPSJ, TP2
-Kompleks 3K, SS13
Wilayah Hulu Langat
-Jalan 4/12 Sek 4 Tambahan Bandar Baru Bangi
-Jalan 1/1 Sek 1 Bandar Bandar Baru Bangi
-PKS Sek 4 Bandar Baru Bangi
Wilayah Kuala Langat
-Di hadapan Tangki Air Bandar Sungai Emas, Jalan Emas 15, Bandar Sungai
-Di hadapan Masjid Al-Islah, Kampung Sawah, Banting
-Jalan Gangsa, Kawasan Perindustrian Teluk Panglima Garang -
-Jalan Pipit, Batu 9 Kebun Bharu
Wilayah Sepang
-Pekan Salak
-Pasar Pekan Dengkil
-Taman gemilang
Lokasi pembelian air oleh pihak ketiga
Gombak
Batu Caves – Koordinat GPS: N 3°14.314' E 101°41.275'
Kuala Lumpur
Padang Merbok - Koordinat GPS: 3.1528351,101.6864506
Klang
Sg Kapar Indah - Koordinat GPS: 3.101535,101.371885
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!