KPM proaktif jamin keselamatan pelajar melalui Kod Sukan Selamat

Lim Hui Ying
Lim Hui Ying
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa proaktif menjamin keselamatan atlet sekolah dengan penggunaan Kod Sukan Selamat dalam kalangan jurulatih dan pelajar yang terlibat dalam aktiviti sukan, kata Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, penerapan kod itu yang selaras dengan hasrat kementerian mewujudkan ekosistem selamat untuk anak-anak bersukan dan dilindungi termasuk gangguan seksual, buli dan pengantunan akan terpakai untuk semua jenis kejohanan sukan di peringkat KPM.

"Sepertimana diumumkan semasa Majlis Pelancaran Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 pada 15 Feb lepas, Kod Sukan Selamat turut digunakan dalam Kejohanan MSSM tahun ini dan kita bekerjasama erat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Ini kerana kita mahu anak-anak selamat dan sihat, bukan sahaja di sekolah, tapi sukan juga. Ibu bapa mereka hantar ke sini kerana bakat mereka jadi kita bertanggungjawab pastikan keselamatan mereka diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kejohanan Olahraga MSSM kali ke-63, di sini pada Khamis.

Kod Sukan Selamat diperkenalkan KBS merupakan panduan dan rujukan kepada semua komuniti sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab dalam pelaksanaan aktiviti sukan khususnya melibatkan atlet kanak-kanak.

Hui Ying berkata, sukan juga berfungsi sebagai ejen perpaduan berikutan ia membabitkan semua kaum sekali gus memupuk kebersamaan dalam kalangan pelajar.

Dalam pada itu, katanya, menerusi kerjasama erat dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan, peluang untuk atlet murid KPM terus menyinar di arena sukan semakin luas bermula dari peringkat sekolah ke antarabangsa.

Katanya, bermula dengan latihan serta bimbingan yang diberikan jurulatih Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah di 612 Pusat Latihan Daerah seluruh negara, atlet berpeluang meneruskan latihan di 15 sekolah sukan negeri dan lima sekolah sukan Malaysia seterusnya mengikuti program Pelapis Kebangsaan dan Program PODIUM di bawah pengurusan MSN.

Artikel Berkaitan:

"Terkini, KPM dengan kerjasama KBS dan Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) akan memberi fokus serta keutamaan terhadap tiga sukan utama iaitu olahraga, renang dan sukan tempur,” katanya.

Dalam kejohanan berkenaan, MSSM Johor dinobatkan juara keseluruhan dengan atletnya Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau dianugerahkan Olahragawan manakala Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira dari MSSM Terengganu sebagai Olahragawati.

Kejohanan lima hari itu seramai 1,300 peserta dari seluruh negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!