Pas belum muktamad calon PRK Kemaman
SHAH ALAM - Mana-mana individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhak menjadi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Disember ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, namun buat masa ini pucuk pimpinan parti masih mempertimbangkan perkara itu termasuk mengekalkan penyandang, Che Alias Hamid yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Semua rakyat Malaysia berhak jadi calon asalkan warga Malaysia. Tak kira orang Terengganu atau (kawasan) mana, sebab dia calon Parlimen.
"Tak semestinya (calon tempatan), boleh jadi sama (kawasan), boleh jadi lain (luar), belum putuskan lagi,” katanya ketika ditemui semasa meninjau pusat media sempena Muktamar Pas ke-69 pada Khamis.
Pada PRU15 lalu, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru yang turut melibatkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dari Barisan Nasional (BN).
Namun kemenangan Che Alias dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu selepas pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya.
Dalam pada itu Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan, pihaknya akan memuktamadkan pemilihan calon sebelum penamaan calon pada 18 November ini.
Sementara itu mengenai PRK Jepak, Ketua Whip Perikatan Nasional itu berkata, Pas akan mengarahkan akar umbi untuk menyokong calon yang mesra gabungan itu.
Beliau menjelaskan, pertimbangan tersebut dibuat susulan kebarangkalian parti-parti utama kerajaan dari Semenanjung dijangka tidak meletakkan calon masing-masing.
"Tengok parti yang mesra dengan kita sebab di sana (Sarawak), GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang bertanding. PH mungkin tiada (letak calon) atau mungkin menang tanpa bertanding.
"Perkara itu (sokongan) kita akan beri arahan secara rasmi kepada ahli," jelasnya.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!